
Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu berkata, parti dalam kerajaan kini berlumba-lumba merebut jawatan menteri yang kosong sejak Zuraida mengumumkan peletakan jawatannya pada Khamis.
“Saya hendak cadangkan agar PM tidak melantik menteri baharu, sebaliknya jawatan menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu dipangku oleh perdana menteri sendiri tanpa gaji sehingga tamat tempoh penggal Parlimen ke-14,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, tidak masuk akal untuk memilih menteri baharu kerana individu berkenaan memerlukan beberapa bulan untuk menyusun atur pasukannya, sedangkan penggal kerajaan hanya tinggal lebih kurang setahun.
Beliau memetik empat sebab lain untuk Ismail menyandang jawatan itu berbanding memilih orang baharu.
Sim berkata, langkah ini akan mengurangkan saiz “gergasi” Jemaah Menteri Ismail, yang dianggotai kira-kira 68 menteri, tidak termasuk duta dan penasihat kepada perdana menteri.
“Jemaah menteri gergasi ini dilihat amat membazir terutamanya apabila kerajaan gagal menangani pelbagai masalah rakyat sejak wabak Covid-19 sehingga sekarang, dengan yang terkini, (membabitkan) pengurusan subsidi ayam,” katanya.
Tambahnya, dalam lima tahun ini sahaja, menteri perusahaan perladangan dan komoditi sudah bertukar tiga kali, dan ini memberi kesan buruk kepada industri dan kementerian itu sendiri.
“Dengan PM memangku kementerian, sudah tentu ia akan memberi kestabilan kepada kementerian kerana tidak perlu sekali lagi melaksanakan perubahan besar, sama ada dari segi dasar mahupun struktur organisasi,” katanya.
Katanya, perdana menteri akan dapat memimpin kementerian itu dengan lebih baik dan memulihkan sektor perladangan Malaysia.
Sim berkata, langkah ini juga dapat menghentikan perebutan kuasa antara Barisan Nasional (BN) pimpinan Umno dan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Bersatu.
“Umum diketahui kerajaan PN, dan kini BN, dibelenggu porak peranda yang berterusan akibat pergolakan kuasa dalaman. Dengan tidak melantik menteri baharu, PM juga tidak perlu menyakitkan hati mana-mana parti dalam kerajaan yang sedang berebut jawatan menteri,” katanya.
Ini dapat mendorong parti komponen kerajaan untuk sebaliknya fokus kepada mentadbir negara dengan lebih baik, tambahnya.
Langkah tidak menggantikan Zuraida dengan menteri baharu juga akan menjimatkan wang orang ramai, kata Sim, lebih-lebih lagi ketika harga barangan semakin meningkat.
Pada 26 Mei, Zuraida, yang juga Ahli Parlimen Ampang, mengumumkan beliau akan meninggalkan Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan turut akan meninggalkan Jemaah Menteri.
Sementara pendahulu Zuraida, Khairuddin Aman Razali berkata beliau patut kekal sebagai menteri, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, jawatan Zuraida dalam Jemaah Menteri mesti kembali kepada Bersatu, menyebutnya sebagai sebahagian daripada “kuota” parti.
Turut timbul cadangan agar salah seorang daripada timbalan Zuraida, Willie Mongin, yang juga ahli Bersatu, menggantikannya sebagai menteri. Seorang lagi timbalan Zuraida adalah Wee Jeck Seng daripada MCA.
Bagaimanapun, Ismail berkata, Zuraida akan kekal dalam Jemaah Menteri buat masa ini.