
Pengarah penyelidikan Bait Al-Amanah, Benedict Weerasena berkata, lonjakan tambang e-panggilan baru-baru ini disebabkan permintaan tinggi dan cabaran berkaitan bekalan, khususnya pada waktu puncak.
“Hukum permintaan dan hukum pembekalan berinteraksi bagi menentukan harga pasaran perkhidmatan e-panggilan ini,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, penetapan tambang siling hanya akan menyebabkan semakin kurang pemandu yang sanggup bekerja pada waktu puncak akibat pulangan rendah dan ini akan mengakibatkan jumlah pemandu berkurangan lagi.
“Menurunkan halangan kemasukan bagi pengendali e-panggilan baharu akan menggalakkan penyertaan pemain baharu, seterusnya memastikan saingan sihat dalam jangka panjang.
“Kerajaan juga patut mengurangkan halangan kemasukan bagi pemandu e-panggilan supaya pemandu baharu boleh diambil pada kadar lebih cepat bagi mengisi sebarang kelopongan.”
Kenyataannya menyusul amaran Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong yang akan menggantung atau membatalkan lesen syarikat melanggar had surcaj 200%.
Perancang pengangkutan, Wan Agyl Hassan turut menggesa halangan kemasukan untuk industri e-panggilan diturunkan.
Bekas ketua bahagian perancangan dan polisi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu berkata, kerajaan perlu memahami kenapa berlaku kekurangan pemandu ketika ini.
“Ketika wabak, ramai orang kehilangan kerja dan menyertai bidang perkhidmatan e-panggilan serta penghantaran makanan. Sekarang, dengan hampir semua sektor ekonomi dibuka semula, kita boleh faham kenapa ramai yang kembali ke bidang asal atau sektor baharu,” katanya kepada FMT.
Pengasas Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj pula menyokong pandangan Wee bahawa surcaj tinggi membebankan pengguna dan industri itu tidak patut menyimpang daripada matlamatnya untuk memudahkan pengguna serta pemandu.
Beliau berkata, ia perkara biasa untuk syarikat mengambil peluang bagi memulihkan kerugian yang ditanggung ketika wabak dan kerajaan mengambil “langkah adil” untuk melindungi pengguna.
Katanya, beliau tidak membantah penyedia perkhidmatan diberikan kebebasan untuk menetapkan harga, namun “lambat-laun industri ini akan terkubur, jika ia hanya mengejar keuntungan”.