Tempoh khidmat guru kontrak ambilan Jun 2020 dilanjut, kata Radzi

Tempoh khidmat guru kontrak ambilan Jun 2020 dilanjut, kata Radzi

Menteri pendidikan itu berkata, pelanjutan berkenaan dibuat agar proses berkaitan pelantikan mereka sebagai guru bawah bidang kuasa SPP dapat dilaksanakan.

Pada 5 Mei, Menteri Pendidikan Radzi Jidin dilaporkan berkata, nasib 2,600 guru COS ambilan Jun 2020 bakal terbela apabila kontrak mereka dijangka disambung selama dua tahun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bersetuju melanjutkan tempoh perkhidmatan guru kontrak perkhidmatan (COS) ambilan Jun 2020 yang tamat kontrak pada 9 Jun ini.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata, pelanjutan berkenaan dibuat agar proses berkaitan pelantikan mereka sebagai guru bawah bidang kuasa SPP dapat dilaksanakan.

“Guru COS 2020 yang akan tamat pada Jun ini, jangan risau. Kita dapat maklum balas daripada SPP semalam bahawa tempohnya akan dilanjutkan bagi membolehkan segala proses dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah SK Putrajaya Presint 8(3) hari ini, lapor Bernama.

Pada 5 Mei, Radzi dilaporkan berkata, nasib 2,600 guru COS ambilan Jun 2020 bakal terbela apabila kontrak mereka dijangka disambung selama dua tahun.

Sementara itu, Radzi berkata, SPP semalam telah mengumumkan keputusan temu duga guru COS bagi pengambilan pegawai perkhidmatan pendidikan DG41 secara “one-off” 2021.

Calon boleh menyemak keputusan melalui portal SPP manakala urusan penempatan calon yang berjaya akan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.