RM17.8 juta kerugian akibat jenayah siber di Sarawak

RM17.8 juta kerugian akibat jenayah siber di Sarawak

Jumlah kerugian itu meningkat bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding RM15.3 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Polis berkata berkata sebanyak 666 kes dilaporkan melibatkan jenayah siber bagi tiga bulan pertama berbanding 640 kes tahun lalu.
KUCHING:
Kes penipuan siber di Sarawak merekodkan 666 kes bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding 640 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata golongan pertengahan, pesara, wanita bekerjaya, golongan elit dan pelajar institusi pengajian tinggi antara menjadi mangsa sindiket penipuan yang dikenali sebagai Macau Scam, Love Scam dan pinjaman tidak wujud itu.

“Kerugian akibat jenayah komersial ini adalah sebanyak RM17.8 juta sepanjang tiga bulan pertama tahun ini, manakala bagi tempoh sama pada tahun lalu sebanyak RM15.3 juta iaitu peningkatan sebanyak RM2.5 juta,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan pihak yang meminta nombor akaun bank, butir peribadi mereka atau cuba menawarkan hadiah percuma menerusi panggilan atau pesanan telefon.

“Tidak perlu melayan mana-mana maklumat atau mesej telefon yang tidak ada urusan (dengan kita). Tidak ada benda yang datang secara percuma,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azman berkata, kejadian pecah rumah yang dilaporkan di Sarawak pula menunjukkan trend penurunan dengan 213 kes direkodkan pada Januari hingga Mac tahun ini berbanding 348 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, walaupun kejadian jenayah terbabit menunjukkan penurunan, masyarakat diminta supaya terus memberikan kerjasama kepada polis bagi membolehkan kadar jenayah dikurangkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.