Operasi besar-besaran buru 60 pelarian Rohingya masih lolos diteruskan, kata menteri

Operasi besar-besaran buru 60 pelarian Rohingya masih lolos diteruskan, kata menteri

Hamzah Zainudin berkata KDN tidak akan berdiam diri dan membiarkan pelarian itu terlepas bebas di dalam negara.

Jabatan Imigresen melakukan pemeriksaan di Pasar Besar Meru dekat Klang malam ini.
KLANG:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus memburu 60 pelarian etnik Rohingya yang lolos dari Depot Tahanan Sementara Imigresen Relau di Sungai Bakap, Kedah melalui operasi besar-besaran di seluruh negara.

Menterinya Hamzah Zainudin, berkata untuk itu Jabatan Imigresen diarahkan untuk terus mengadakan operasi sedemikian di lokasi dan penempatan warga Rohingya seperti di pasar borong serta beberapa lokasi lain yang menjadi tumpuan kumpulan itu

Katanya, KDN tidak akan berdiam diri dan membiarkan kumpulan pelarian itu terlepas serta bergerak bebas di dalam negara.

“Saya nak maklum kepada mereka terutama rakan mereka yang tinggal dengan mereka, kita akan buat serbuan sehingga kita dapat tangkap saki baki 60 pelarian yang masih belum ditemui,

“(Operasi) ini akan memberi peringatan kepada rakan mereka agar tidak sewenang-wenangnya melindungi 60 pelarian terbabit. Adalah menjadi satu kesalahan sekiranya mereka ini dilindungi,” katanya selepas mengikuti operasi khas Jabatan Imigresen di Pasar Besar Meru, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud .

Hamzah Zainudin bercakap kepada pemberita selepas mengikuti operasi khas Jabatan Imigresen di Pasar Besar Meru, Klang hari ini.

April lalu, seramai 528 pelarian Rohingya melarikan diri dari depot tahanan sementara berkenaan selepas memecahkan pintu blok dan jeriji penghadang dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi.

Bagaimanapun, enam daripada mereka dilaporkan maut dalam kemalangan ketika cuba melintas laluan di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) berdekatan Jawi, Pulau Pinang.

Hamzah pada minggu lalu mengesahkan masih terdapat 60 pelarian etnik Rohingya yang lolos dari depot tahanan berkenaan masih belum berjaya ditahan setakat ini.

Mengulas mengenai operasi di pasar itu hari ini, Hamzah memaklumkan seramai 704 orang diperiksa dengan 637 daripada mereka adalah pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Katanya, seramai 51 orang lagi tidak mempunyai dokumen atau pendatang tanpa izin atau pati

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 23 melibatkan warga Bangladesh, Indonesia (2), Myanmar (14), dan India (8).

“Operasi yang bermula 8 malam itu melibatkan 272 pegawai penguatkuasa terdiri dari Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.