Kementerian Pertanian akan bantu pihak berminat bawa masuk sumber makanan

Kementerian Pertanian akan bantu pihak berminat bawa masuk sumber makanan

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan membantu pihak yang berminat masuk sumber bekalan makanan ke dalam negara, khasnya ayam dari loji pemprosesan sah.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan membantu memudahkan urusan perniagaan untuk pihak yang berminat membawa masuk sumber bekalan makanan.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) akan membantu mana-mana pihak yang berminat membawa masuk sumber bekalan makanan ke dalam negara, khasnya ayam dari loji pemprosesan sah, susulan pemansuhan kelulusan kuota import (AP).

Ketua Setiausahanya, Haslina Abdul Hamid berkata, langkah membawa masuk ayam dari luar negara dan arahan Kabinet untuk memberhentikan eksport ayam bermula 1 Jun ini akan menstabilkan bekalan ayam dalam masa terdekat.

“Bagi pihak yang berminat membawa masuk sumber makanan dari luar, Mafi akan membantu dari segi memudahkan urusan perniagaan. Sementara dalam isu bayaran subsidi kepada penternak ayam yang sebelum ini didakwa lewat, sudah mula ada langkah intervensi dari Mafi.

“Kesan positif semua langkah ini diharap dapat dilihat dalam waktu terdekat,” katanya ketika diwawancara dalam talian menerusi program Ruang Bicara Khas terbitan Bernama TV yang disiarkan secara langsung semalam.

Mengenai penyelesaian jangka panjang bagi isu bekalan makanan negara, Haslina berkata, Mafi komited meningkatkan tahap sara diri negara, terutamanya bagi pengeluaran daging.

Sebagai contoh, katanya, jagung bijian yang merupakan makanan bagi ternakan dan dulunya diimport, kini akan mula ditanam dalam negara secara besar-besaran di Chuping, Perlis melalui penglibatan syarikat berkaitan kerajaan.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Mohd Yusof yang turut menjadi tetamu dalam program sama berkata, isu kenaikan harga dan kekurangan bekalan ayam ketika ini dijangka diatasi dalam masa sebulan.

“Pengguna yang mendapati ayam dijual pada harga tinggi boleh membuat aduan rasmi dengan memberikan maklumat terperinci. Gunakan pelbagai saluran teknologi yang disediakan KPDNHEP untuk membuat aduan.”

Katanya, KPDNHEP akan terus menganjurkan pelbagai program jualan dari semasa ke semasa bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.