‘Saya selesa di Jerlun, tiada sebab bertanding di Langkawi,’ kata Mukhriz

‘Saya selesa di Jerlun, tiada sebab bertanding di Langkawi,’ kata Mukhriz

Presiden Pejuang itu menafikan beliau akan beralih angin bertanding di Langkawi susulan pengumuman bapanya, Dr Mahathir Mohamad tidak mempertahankan kerusi Parlimen itu.

Mukhriz Mahathir memenangi kerusi Parlimen Jerlun pada pilihan raya umum ke-14 (PRU15) dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti, 5,866 undi.
PETALING JAYA:
Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir menafikan ura-ura beliau akan bertanding di Parlimen Langkawi, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Jerlun itu, berkata beliau selesa berada di Parlimen itu dan tidak ada sebab untuk berpindah ke kerusi lain, termasuk Langkawi yang kini disandang bapanya, Dr Mahathir Mohamad.

“Setakat ini tidak ada keputusan apa-apa, tapi saya lebih selesa kekal di Jerlun. Sebab ini tempat saya dari dahulu. Tidak ada sebab untuk saya pindah ke tempat lain,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Jerlun merangkap presiden Pejuang yang diadakan di Dataran Sungai Korok, di Jerlun dekat Jitra.

Pada Mac, Mahathir yang juga bekas perdana menteri dilaporkan, berkata beliau tidak akan bertanding pada PRU15 akan datang, berikutan faktor usia dan tahap kesihatannya yang belum pulih.

Pengumuman Mahathir itu yang juga pengerusi Pejuang, sekali gus menimbulkan khabar angin yang mendakwa Mukhriz akan meninggalkan kerusi Jerlun untuk bertanding di Langkawi.

Sementara itu, mengulas mengenai penerimaan Pejuang di Kedah, Mukhriz berkata, parti itu sememangnya mendapat tempat baik dalam kalangan rakyat kerana kebanyakan pemimpinnya berasal dari negeri itu.

“Penerimaan terhadap Pejuang di Kedah sedikit berbeza dengan negeri lain, tapi itu tidak bermakna kita tidak memberi perhatian kepada negeri lain, (sebab) negeri lain penting juga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.