MTUC dakwa ada majikan potong elaun, faedah untuk tampung gaji minimum

MTUC dakwa ada majikan potong elaun, faedah untuk tampung gaji minimum

Sebarang perubahan atau mengurangkan faedah sedia ada pekerja disebabkan pelaksanaan gaji minimum adalah satu pengkhianatan kepada usaha kerajaan menambah pendapatan golongan B40.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor meminta pekerja yang tidak dibayar kadar gaji minimum baharu atau pengurangan faedah sedia ada melaporkan kepada MTUC atau Jabatan Tenaga Kerja yang berdekatan.
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendakwa menerima aduan daripada pekerja berhubung tindakan majikan memotong elaun dan pengurangan faedah sedia ada bagi mengurangkan kos kenaikan gaji minimum baharu.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, sebarang perubahan atau pengurangan faedah sedia ada pekerja disebabkan pelaksanaan gaji minimum adalah satu pengkhianatan kepada usaha kerajaan menambah pendapatan golongan B40.

Justeru, beliau menggesa pekerja yang tidak dibayar kadar gaji minimum baharu atau dikurangkan faedah sedia ada melaporkan kepada ibu pejabat MTUC atau ke Jabatan Tenaga Kerja (JTK) berdekatan.

“JTK perlu memastikan setiap aduan diambil tindakan segera dan perlu menunggu laporan daripada pekerja.

“Jika tindakan lambat diambil, maka anggapan gaji minimum sebagai bahan kempen semata-mata akan menjadi kenyataan,” katanya dalam kenyataan.

MTUC mendakwa faedah sedia ada pekerja yang dipotong adalah subsidi makanan kantin dan pengangkutan.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei dengan pengecualian diberikan kepada perniagaan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja.

Bagaimanapun pelaksanaan gaji minimum itu akan berkuat kuasa sepenuhnya menjelang pertengahan 2023.

Dalam pada itu, Kamarul berkata, JTK seharusnya memeriksa dan mendakwa majikan serta kontraktor utama jika gagal membayar gaji minimum kepada pekerja.

Beliau berkata, MTUC juga akan menyediakan pegawai khas gaji minimum bagi menyediakan laporan, mengambil tindakan dan menyalurkan maklumat berkaitan gaji minimum kepada pekerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.