Lebih RM42 bilion eksport halal negara tahun ini, kata HDC

Lebih RM42 bilion eksport halal negara tahun ini, kata HDC

Eksport halal meningkat hampir 100% pada suku pertama tahun ini, berbanding suku sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari, berkata industri halal negara dijangka pulih lebih awal mengambil kira kedudukan semasa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Halal Development Corporation Bhd (HDC) menjangkakan eksport halal Malaysia tahun ini melepasi RM42 bilion daripada tahap sebelum pandemik.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC Hairol Ariffein Sahari, berkata pada suku pertama tahun ini, eksport halal meningkat hampir 100% daripada suku sama, tahun lalu.

“Daripada prestasi pada suku pertama dan jika trend serta momentum ini berterusan sehingga akhir tahun, kami akan berada di landasan betul untuk melepasi tahap sebelum pandmik,” katanya selepas majlis pelancaran kempen “Make Halal your First Choice”, di sini hari ini.

“Semasa pandemik, kami mengunjurkan bahawa ekonomi halal memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun selepas pandemik untuk pulih tetapi melihat angka semasa, nampaknya Malaysia akan pulih lebih awal daripada jangkaan.”

Hairol berkata, rantaian bekalan (situasi) bertambah baik, melihat kepada eksport perniagaan ke perniagaan untuk derivatif minyak sawit dan bahan halal yang meningkat lebih 100%, produk lain juga beransur pulih.

Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa import dari China juga melonjak.

Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Norazman Ayob, yang melancarkan acara tersebut, berkata prestasi eksport halal Malaysia 2021 merupakan pencapaian memberangsangkan, meningkat 19% kepada RM36.3 bilion daripada RM30.5 bilion setahun sebelumnya.

“Peningkatan ini membuktikan kepentingan industri halal kepada ekonomi Malaysia walaupun berdepan cabaran pandemik Covid-19,” katanya.

Dari segi sumbangan sektoral, bagi tahun 2021 beliau berkata, sektor makanan dan minuman halal terus menjadi penyumbang utama bernilai RM17.64 bilion diikuti bahan halal (RM13.49 bilion), kosmetik dan penjagaan diri (RM2.44 bilion), derivatif minyak sawit (RM1.71 bilion), bahan kimia industri (RM0.75 bilion) dan farmaseutikal halal (RM0.28 bilion).

Beliau berkata, China mengatasi Singapura sebagai destinasi eksport halal terbesar pada 2021, masing-masing sebanyak sebanyak RM4.6 bilion dan RM3.7 bilion diikuti Jepun, Amerika Syarikat dan Indonesia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.