
IoT menggambarkan rangkaian objek fizikal yang dibenamkan dengan sensor, perisian dan teknologi lain.
Merangkumi peranti pintar hingga alatan perindustrian, IoT membolehkan saling sambungan dan pertukaran data antara satu sama lain.
Ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat keselamatan siber, Novem CS, Murugason R Thangaratnam berkata, dengan 5G, penggodam akan mempunyai akses kepada kelajuan lebih tinggi dan kependaman lebih rendah.
Katanya, ini akan membolehkan kebocoran keselamatan lebih pantas dan lebih banyak data diperolehi dalam satu godaman.
Beliau memberi amaran bahaya “sync” pelbagai peranti pintar peribadi hanyalah permulaan kecil kepada kesan teknologi IoT yang berpotensi lebih besar, sebaik sahaja ia diterima pakai dalam arus perdana.
“Memandangkan kini kita ‘sync’ semua barangan kita seperti telefon dan jam pintar, penggodam boleh mendapatkan data anda menerusi mana-mana saluran ini,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, penggodam malah dapat memperoleh data kesihatan daripada pengguna jam pintar dengan fungsi pengawasan kadar degupan jantung dan pengesanan pola tidur.
CEO Vulsan X Corp, Prakash Christiansen, yang sependapat dengan Murugason berkata, evolusi teknologi hanya akan mengembangkan skala risiko siber.
“5G akan meningkatkan kelajuan internet dan dengan teknologi IoT, penggunaan akan meningkat,” katanya kepada FMT.
“Akibatnya, alamat protokol internet (IP) melalui titik akhir akan berkembang dengan pesat dan boleh dimanfaatkan penggodam sebagai titik masuk.
“Sebagai contoh, CCTV, peranti pintar, sensor pintar, peralatan teknologi, semuanya boleh digunakan sebagai medium untuk menceroboh atau menggodam.”
CEO Censof Digital, Vicks Kanagasingam berkata, menggunakan penyelesaian IoT akan membolehkan automasi penawanan data dalam banyak proses yang kini dibuat secara manual.
Beliau berkata, data ini kemudiannya akan disimpan dalam “awan” di mana satu titik kemasukan boleh memberi akses kepada semua data yang dikumpul bagi sesebuah entiti.
Beliau menegaskan bahawa kesannya boleh mempunyai implikasi yang meluas kerana perniagaan teras sudah mula menerima pakai teknologi yang lebih baharu.
“Apabila ia diterima pakai sepenuhnya, bayangkan (apa akan terjadi) jika seseorang menggodam kilang pembuatan makanan dan merosakkan perisiannya.
“Jika itu berlaku, kita akan menyaksikan krisis di seluruh negara,” katanya.
Vicks mengakui bahawa perniagaan di Malaysia masih belum menyepadukan sepenuhnya IoT disebabkan kos pelaburan yang tinggi.
Bagaimanapun integrasi berskala penuh tidak dapat dielakkan kerana ia terpaksa menerima pakainya untuk kekal berdaya saing dalam jangka panjang.
“Apabila Covid-19 melanda, banyak syarikat menyedari bahawa ia boleh menguruskan kilang dari jauh jika syarikat menyepadu dan mendigitalkan teknologi IoT untuk menggunakan automasi bagi prosesnya,” katanya.
Disebabkan itu penerimaannya di negara ini mula berkembang dan Malaysia dijangka mempunyai lebih 100 juta peranti IoT yang tersambung menjelang 2030.
Murugason berkata, langkah pertama dalam mengendalikan serangan siber akan datang adalah menerima bahawa ia tidak dapat dielakkan dan mengambil langkah perlindungan.
“Serangan siber pasti akan meningkat terutamanya membabitkan 5G dan IoT,” katanya.