Beri lebih kepada pemandu e-panggilan untuk bendung kekurangan, kata pakar ekonomi

Beri lebih kepada pemandu e-panggilan untuk bendung kekurangan, kata pakar ekonomi

Pakar ekonomi mencadangkan syarikat e-panggilan memberi bahagian tambang lebih besar kepada pemandu serta faedah tambahan lain seperti KWSP dan insurans.

Pada masa ini, syarikat e-panggilan mendapat kira-kira 20% daripada tambang yang diperolehi pemandu.
GEORGE TOWN:
Memberi pemandu e-panggilan bahagian tambang yang lebih besar adalah satu cara untuk menarik lebih ramai orang menyertai industri itu, kata pakar ekonomi.

Mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong bahawa lonjakan tambang e-panggilan disebabkan peningkatan jumlah trafik dan kekurangan pemandu, pakar ekonomi Yeah Kim Leng dan Geoffrey Williams bersetuju bahawa syarikat boleh menarik lebih ramai pemandu menyertai industri itu jika ia menawarkan komisen yang lebih tinggi.

Pada masa ini, syarikat e-panggilan mendapat kira-kira 20% daripada tambang diperolehi pemandu.

Yeah dari Universiti Sunway berkata, sementara syarikat e-panggilan perlu membayar lebih untuk meningkatkan jumlah pemandu, kenaikan tambang akan mendorong pelanggan memilih teksi atau pengangkutan awam lain.

“Selain meningkatkan pendapatan pemandu, syarikat e-panggilan mungkin patut mempertimbangkan untuk menyediakan faedah tambahan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan insurans kesihatan untuk meningkatkan daya tarikan kerja gig sebagai pilihan pekerjaan jangka panjang,” katanya.

Bagaimanapun tegasnya, untuk syarikat e-panggilan menjadi mampan, keuntungan yang dijana perlu dapat menampung kos operasi, memenuhi pelaburan modal dan kos pembiayaan, selain jangkaan pemegang saham.

Yeah berkata, keluarnya banyak syarikat e-panggilan dari Malaysia menggambarkan kesukaran yang dihadapi dalam mewujudkan model perniagaan yang mampan.

Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia bersetuju dengan Yeah mengenai penyelesaian kepada kekurangan semasa pemandu.

Beliau berkata, “cara untuk mendapatkan lebih ramai pemandu adalah dengan berkongsi (bahagian) tambang lebih besar”.

“Ini bermakna kos yang lebih tinggi bagi pelanggan, yang akan mengakibatkan pelanggan berkurangan. Kita perlu melihat bagaimana ia berfungsi untuk mereka dan sama ada pelanggan masih akan menyukai kemudahan dan keselamatan e-panggilan atau hanya tambang murah yang menarik mereka,” katanya.

Williams menegaskan walaupun syarikat e-panggilan mungkin berkata “bilangan pemandu mereka kurang”, pemandu adalah pekerja gig, bukan kakitangan tetap syarikat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.