Zuraida patut kekal sebagai menteri, kata Khairuddin

Zuraida patut kekal sebagai menteri, kata Khairuddin

Bekas ahli jawatankuasa PAS Pusat berkata ahli Parlimen Ampang itu harus kekal dalam jawatan sehingga pembubaran Parlimen.

Ahli Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali berkata, pertukaran menteri perusahaan perladangan dan komoditi akan memberi impak besar kepada kementerian.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin perlu kekal sebagai menteri sehingga Parlimen dibubarkan, kata bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khairuddin Aman Razali

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, pertukaran menteri perusahaan perladangan dan komoditi akan memberi impak besar kepada kementerian itu, dengan menambah bahawa pembubaran Parlimen akan berlaku paling lewat setahun lagi.

“Menteri baru memerlukan masa untuk memahami selok belok kementerian. Apatah lagi Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi yang melibatkan sumbangan KDNK yang besar bagi negara khususnya pendapatan eksport,” katanya di Facebook.

Khairuddin berkata, perubahan kepada pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pegawai penting yang dilantik oleh Zuraida pasti akan berlaku, selain menambah bahawa sebarang pertukaran menteri akan membabitkan kos kepada kerajaan.

“Dalam sepenggal ini kementerian ini telah mempunyai tiga menteri.

“Jika rombakan tak dapat dielakkan kerana keperluan parti Bersatu maka saya mencadangkan timbalan menteri sekarang YB Datuk Willie Mongin dilantik sebagai menteri mewakili Bersatu agar kesinambungan kerja di kementerian dapat diteruskan,” katanya.

Komen itu dibuat susulan keputusan Zuraida keluar daripada Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Dalam kenyataan hari ini, Zuraida berkata, beliau akan bertemu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak lama lagi untuk membincangkan peletakan jawatannya daripada Kabinet tetapi menegaskan akan terus menyokong kerajaan Ismail, selaras dengan pendirian PBM.

Zuraida menyertai Bersatu pada 2020 selepas dipecat daripada PKR susulan Langkah Sheraton.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.