
Haron berkata, kenaikan itu mungkin tidak dapat dielakkan kerana lebih 6,000 pengusaha bas sekolah berdepan dengan kenaikan kos penyelenggaraan serta alat ganti kenderaan antara 50% hingga 80%.
Bagaimanapun kata Haron, kenaikan tersebut belum diputuskan namun perkara itu dibincangkan dalam kalangan ahli dan pengguna.
Beliau berkata, selain kenaikan tambang biasa, pihaknya mempertimbang untuk mengenakan bayaran tambahan bagi penghantaran pelajar ke sekolah yang terlibat dengan kelas tuisyen, kokurikulum, latihan sukan dan lain-lain di luar waktu rasmi sekolah.
“Jumlah kenaikan tambang bergantung kepada perbincangan dan persetujuan antara pengusaha dengan pelanggan. Pengusaha terpaksa mengkaji dan menaikkan tambang kerana kami sudah tiada pilihan untuk menampung kos penyelenggaraan bas.
“PBSSPKL ada mengemukakan cadangan dan menghantar memorandum kepada kerajaan supaya menanggung separuh tambang bas sekolah dan separuh lagi ditanggung ibu bapa.
“Dengan cara ini kita dapat mengawal kenaikan tambang bas sekolah dan dapat menghapuskan kegiatan kenderaan haram secara total,” katanya menurut laporan Utusan.
Dalam pada itu, Haron menyeru kerajaan memberikan subsidi petrol dan diesel RM1 seliter kepada pengusaha bas sekolah di seluruh Malaysia.
“Jika berlaku sebarang bencana dan sekolah ditutup, hanya kerajaan sahaja yang perlu membayar tambang bas sekolah untuk memastikan kelangsungan kehidupan pengusaha bas sekolah selamat dan terjamin.
“Ia sekali gus dapat menghapuskan 100% kegiatan kenderaan haram. Jika pengusaha dapat berniaga secara aman tanpa diganggu oleh kenderaan haram, pendapatan pengusaha bertambah dan mutu perkhidmatan berada di landasan yang betul dan mantap,” katanya.