Serik digelar ‘katak’, Masiung lebih selesa jadi ADUN bebas

Serik digelar ‘katak’, Masiung lebih selesa jadi ADUN bebas

ADUN Kuamut berkata sehingga kini beliau belum membuat keputusan untuk menyertai mana-mana parti walaupun menerima beberapa tawaran.

ADUN Kuamut Masiung Banah ketika ditemui media selepas majlis sambutan Aidilfitri di Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU:
Serik digelar “katak”, ADUN Kuamut Masiung Banah membuat keputusan kekal sebagai wakil rakyat bebas.

Masiung berkata, sehingga kini beliau belum membuat keputusan untuk menyertai mana-mana parti walaupun menerima beberapa tawaran termasuk jawatan dalam parti.

“Saya serik dipanggil ‘katak’, nanti masuk sana, keluar percaturan politik, keluar (parti) lagi, katak lagi.

“Walaupun banyak tawaran diterima tetapi berikan saya sedikit masa lagi untuk membaca keadaan politik yang sebenar,” katanya ketika ditemui sempena majlis sambutan Aidilfitri bersama media, di sini, hari ini.

Masiung berkata, antara “tawaran” yang diterima daripada parti yang menghubunginya termasuk jawatan timbalan dan naib presiden.

Bagaimanapun, beliau menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan kepimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor.

“Saya mengambil pendekatan untuk ‘cermin-cermin’ dulu. Kita ‘teropong-teropong’ dulu keadaan politik ini,” katanya.

Masiung menyandang status sebagai ADUN bebas sejak memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah lalu.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Masiung mempertahankan kerusi Kuamut sebagai calon Barisan Nasional (BN) daripada Upko.

Bagaimanapun, beliau bersama beberapa ADUN Upko kemudian beralih arah dengan menyokong Warisan bagi menubuhkan kerajaan ketika itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.