Selepas digantung 5 tahun, ketua MCA Pontian umum keluar parti

Selepas digantung 5 tahun, ketua MCA Pontian umum keluar parti

Keputusan diambil Tee Siew Kiong selepas mengambil kira pendapat semua pihak termasuk tidak akan membuat rayuan terhadap pergantungan keahlian selama lima tahun.

MCA menggantung keahlian Tee Siew Kiong lima tahun kerana mengadakan sidang media dan Facebook secara langsung pada 25 Feb susulan namanya tidak dicalonkan pada PRN Johor, Mac lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ketua Bahagian MCA Pontian, Tee Siew Kiong yang digantung keahlian selama lima tahun pada 13 Mei lalu, akhirnya mengambil keputusan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Tee yang juga bekas exco Johor berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pertimbangan dan pendapat semua pihak termasuk tidak akan membuat rayuan ke atas pergantungan yang dikenakan terhadapnya.

“Saya tidak akan membuat rayuan kerana tidak akan berlaku sebarang perubahan lebih-lebih lagi apabila cadangan keputusan Jawatankuasa Tatatertib pun boleh diubah, jadi keputusan rayuan juga dalam jangkaan kita.

“Bagi mengelakkan parti daripada terus menjadi huru-hara, saya secara rasminya mengumumkan keluar MCA berkuat kuasa serta-merta. Tindakan ini juga dapat memenuhi hasrat terbesar dan terakhir presiden,” katanya menurut laporan Astro Awani.

“Saya sentiasa bercakap benar, betul atau salah bukanlah sesuatu yang boleh saya tentukan. Niat saya adalah untuk memberi nasihat dari semasa ke semasa dan lebih suka bercakap seperti itu, tetapi malangnya presiden tidak membenarkan suara yang berbeza dalam parti.”

Tee yang sudah 40 tahun bersama MCA turut mengucapkan terima kasih kepada partinya dan semua bekas presiden termasuk Ling Liong Sik, Ong Ka Ting, Ong Tee Keat, Chua Soi Lek dan Liow Tiong Lai atas bimbingan dan peluang serta platform untuk berkhidmat kepada rakyat.

Sekalipun meninggalkan MCA, Tee tidak berhasrat menyertai parti lain buat masa ini.

“Sepanjang perjalanan dalam parti, saya tetap dengan pendirian saya tidak bersalah, ikhlas terhadap penyokong dan dedikasi untuk berkhidmat kepada pengundi,” katanya.

Pada 13 Mei lalu, bekas ADUN Pulai Sebatang itu mengesahkan keahliannya dalam MCA digantung lima tahun selepas mendapat salinan surat penggantungan itu menerusi WhatsApp daripada kakitangan parti.

Sebab penggantungan yang diberikan parti adalah atas tindakannya mengadakan sidang media dan Facebook secara langsung pada 25 Feb berhubung namanya tidak dicalonkan oleh parti untuk bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, Mac lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.