Pemain Piala Presiden Selangor FC meninggal dunia ada sejarah asma

Pemain Piala Presiden Selangor FC meninggal dunia ada sejarah asma

Muhammad Husni Idrus ditemukan terbaring berhampiran tandas di sebuah medan selera di Sunway X Park, Petaling Jaya 9.58 malam semalam.

Semakan rekod kesihatan Muhammad Husni Idrus mendapati pemain berusia 21 tahun itu ada sejarah penyakit asma. (Gambar PDRM)
KUALA LUMPUR:
Pemain Piala Presiden Selangor FC Muhammad Husni Idrus yang meninggal dunia semalam dilaporkan mempunyai sejarah penyakit asma.

Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya, Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata ia hasil semakan rekod kesihatan pemain berusia 21 tahun itu.

Beliau berkata, Husni ditemukan terbaring berhampiran tandas di sebuah medan selera di Sunway X Park, Petaling Jaya pada 9.58 malam.

“Pemain tersebut telah menyertai perlawanan bola sepak antara Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim III di Padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Kelana Jaya.

“Setelah selesai perlawanan, Husni dan beberapa rakan ke lokasi kejadian (medan selera) untuk menjamu selera sebelum mengalami sesak nafas sehingga terjatuh dan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ku Mashariman berkata, mayat Husni dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.

Sementara itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam hantaran Facebook hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Husni dan mendoakan semoga Allah merahmati dan mengampuni segala dosanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.