

Menurut laporan The Straits Times, AGC pada asalnya meminta kos peribadi berjumlah SGD40,000 daripada M Ravi dan Violet Netto kerana menangguhkan pelaksanaan hukuman Nagaenthran dengan memfailkan “permohonan tanpa merit” menyebabkan mahkamah menanggung kos yang tidak perlu.
Panel lima hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Sundaresh Menon semalam berkata, jelas kepada mana-mana “peguam bela yang munasabah bahawa kes yang dikemukakan oleh kedua-dua mereka tidak mempunyai asas berfakta”.
Berbanding mengemukakan kes terbaik mereka pada peringkat pertama, ia berkata, peguam sebaliknya memberi keterangan sepatutnya secara “runcit” dan mengemukakan dokumen pada saat-saat akhir.
Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana menyeludup 42.7gm heroin ke Singapura.dan menjalani hukuman itu pada 27 April tahun ini.
Semasa perbicaraan, dia diisytiharkan sebagai seorang yang mengalami kecacatan intelek dengan IQ 69.
Bagaimanapun, mahkamah mendapati dia tidak “cacat secara muktamad” dan tahu sepenuhnya bahawa dia melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang, menurut laporan.
Beberapa hari sebelum Nagaenthran dijadual dihukum gantung pada 10 Nov tahun lepas, Ravi memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman terhadap pelaksanaan hukuman yang akan berlaku.
Berhujah bahawa Nagaenthran cacat dari segi mental, Ravi turut memfailkan permohonan lain meminta penangguhan pelaksanaan hukuman bagi membolehkan Nagaenthran dinilai oleh panel pakar psikiatri.
Bagaimanapun, mahkamah menolak tindakan undang-undang tersebut dengan berkata, kes itu tidak berasas dan tiada keterangan yang boleh diterima mengenai sebarang kemerosotan keadaan mental Nagaenthran.
Ia juga berkata prosiding itu membawa kepada penyalahgunaan proses mahkamah dan seolah-olah dijalankan dengan tujuan menangguhkan pelaksanaan hukuman.