Mendapan tanah, kawasan rendah antara punca beberapa lokasi di ibu negara dinaiki air

Mendapan tanah, kawasan rendah antara punca beberapa lokasi di ibu negara dinaiki air

Antara lokasi rendah daripada paras sungai dinaiki air ialah kawasan sekitar Jalan Rahmat, Jalan Ipoh Batu Tiga, Jalan Segambut dan Jalan Ampang.

Air bertakung dalam kejadian banjir kilat pagi semalam tidak menyebabkan kerosakan harta benda, malah tiada kesesakan trafik teruk berlaku dilaporkan, kata DBKL. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Mendapan tanah dalam longkang dan kawasan lebih rendah daripada paras sungai adalah antara punca yang menyebabkan beberapa kawasan di ibu negara dinaiki air ekoran hujan lebat lebih dua jam.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Anwar Mohd Zain berkata, antara lokasi rendah daripada paras sungai yang dinaiki air ialah kawasan sekitar Jalan Rahmat, Jalan Ipoh Batu Tiga, Jalan Segambut dan Jalan Ampang. Bagaimanapun air yang bertakung, surut dalam tempoh setengah jam.

“Terdapat juga mendapan tanah di tepi longkang daripada projek pembangunan berhampiran yang menyebabkan aliran air perlahan dan tersekat, iaitu di Jalan Dutamas Dua, Lebuhraya Sultan Iskandar susur ke Jalan Kuching.

“Bagaimanapun DBKL dengan bantuan Alam Flora berjaya membersihkan kawasan berkenaan selain turut segera menghantar 10 pam air di kawasan air bertakung dan menambah beg pasir sebagai langkah sementara,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurutnya air yang bertakung dalam kejadian banjir kilat pagi semalam tidak menyebabkan kerosakan harta benda, malah tiada kesesakan trafik yang teruk dilaporkan.

Pada masa sama, Anwar turut menjelaskan video banjir kilat di Jalan Travers di sini yang tular di media sosial adalah kejadian lama.

Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati serta menyemak sebarang maklumat terlebih dahulu daripada sumber yang sahih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.