
Mereka ialah Baljit Singh Sidhu, Khairul Anwar Rahmat dan Ikbal Salam.
Baljit berkata, lawatan bagi melihat keadaan Bella di pusat jagaan tersebut adalah yang pertama sejak dilantik sebagai peguam pemerhati.
Beliau berkata, Bella dilihat dalam keadaan baik, sihat dan kecederaan yang dialami semakin sembuh.
“Kami amat gembira melihat keadaan adik Bella kerana perhatian bagus telah diberikan. Kami melakukan tanggungjawab pertama, iaitu melihat keadaan adik Bella di sini dan langkah seterusnya kita akan memainkan peranan sebagai pasukan peguam pemerhati.
“Kami juga berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera berlunaskan undang-undang. Namun ini terpulang kepada jadual mahkamah untuk segerakan perkara sebegini,” katanya.
Pada 20 April lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan permohonan peguam yang dilantik oleh Tunku Ismail untuk bertindak sebagai peguam pemerhati dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda yang didakwa mengabai dan menganiaya Bella.
Kes Bella tular di media sosial tahun lalu, selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada bawah jagaan Rumah Bonda, iaitu rumah kebajikan sebuah pertubuhan bukan kerajaan.
Susulan itu, pengasas rumah kebajikan itu, Siti Bainun Ahd Razali, 30, didakwa atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Perbicaraan kes bersambung pada 30 Mei ini.