
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Negeri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak mesti mempunyai suara dalam menentukan jumlahnya.
Beliau berkata, pemberian geran itu merupakan keistimewaan yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Jumlah yang diberikan oleh kerajaan persekutuan di bawah geran ini adalah berdasarkan cukai dan hasil tahunan yang dikutip dari Sarawak,” kata Karim.
Beliau berkata, kerajaan persekutuan tidak mendedahkan jumlah kutipan cukai dan hasil lain.
“Oleh kerana itulah kerajaan negeri meminta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut disertai wakil Sarawak,” katanya.
Katanya, Sarawak juga menangguhkan daripada menerima sebarang tawaran daripada kerajaan persekutuan di bawah geran khas ini sehingga formulanya dipersetujui.
Bulan lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa geran khas Putrajaya kepada Sabah tahun ini sebanyak RM125.6 juta, iaitu peningkatan lebih empat kali ganda berbanding tahun lepas.
Susulan itu, ketua pembangkang Sarawak, Wong Soon Koh menggesa Premier Abang Johari Openg supaya mendedahkan sama ada negeri itu akan mendapat jumlah yang lebih besar.
Sarawak dilaporkan menerima RM16 juta daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya dan menggandakan jumlah itu. Ia bagaimanapun dikurangkan semula kepada RM16 juta selepas kerajaan PH digulingkan.
Karim berkata, RM125.6 juta yang dipersetujui untuk Sabah nampak besar, namun tidak menjawab isu sebenar, iaitu bagaimana jumlah itu dihitung.
“Harap-harap isu ini akhirnya boleh diselesaikan antara kerajaan persekutuan dan negeri,” katanya.
“Sepertimana ditegaskan premier Sarawak, geran Sarawak tidak patut diputuskan secara unilateral oleh Putrajaya dan Sarawak tidak patut dilayan seperti ‘ayam’ yang akan menerima apa saja dedak dicampakkan kepadanya,” katanya.