
Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi negara pesat pada suku pertama tahun ini berikutan langkah kerajaan menggugurkan kebanyakan sekatan Covid-19.
Ini memberi ruang kepada bank pusat menaikkan kos pinjaman bulan ini bagi memerangi inflasi, walaupun kadar peningkatan indeks harga pengguna adalah paling perlahan di Asia Tenggara.
Tinjauan Bloomberg mendapati bank pusat mungkin akan terus menaikkan semula kadar penanda aras dasar pada suku ketiga ini.
“Kami yakin berada di landasan yang betul,” kata Tengku Zafrul kepada Bloomberg di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.
“Kadar faedah kami meningkat sebanyak 25 mata asas disebabkan ekonomi negara cukup kuat. Berdasarkan posisi kami, saya rasa kadar itu mampu dipertingkat lagi, tanpa membawa banyak kesan buruk kepada ekonomi.
“Namun ia masih bersifat akomodatif kerana hanya berada pada paras 2% berbanding 3% sebelum ini dan 2% itu adalah kadar paling rendah dalam tempoh 10 tahun.”
Beliau berkata, langkah menambat mata wang ringgit tidak dipertimbangkan dan beliau berpuas hati dengan kedudukan nilai ringgit yang didagangkan kini.
Kadar vaksinasi Malaysia yang tinggi serta langkah sedunia ke arah hidup dengan wabak Covid-19 mendorong kerajaan untuk membuka semula sempadan antarabangsa pada April.
Ini meningkatkan keyakinan bahawa pemulihan negara mencapai tahap yang kukuh, dengan Bank Negara Malaysia (BNM) menganggarkan ekonomi akan meningkat antara 5.3% hingga 6.3% pada 2022, berbanding setahun lalu.
Risiko kepada prospek itu masih kekal dalam bentuk ketegangan global, khususnya peperangan di Eropah.
Malaysia, selaku pengimport bersih makanan, kini mengambil langkah untuk menjamin bekalan makanan dengan kos makanan mencecah paras tertinggi sepanjang peperangan Ukraine yang memburukkan lagi isu kelaparan global.
Indeks harga pengguna meningkat sebanyak 2.3% pada April, manakala ukuran teras yang mengurangkan kos makanan dan tenaga yang tidak menentu meningkat sebanyak 2.1%.
Kebimbangan mengenai tekanan harga mendorong Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob minggu ini mengumumkan keputusan menghentikan eksport ayam, berkuat kuasa 1 Jun, bagi menyekat kenaikan harga barangan tempatan.
Kerajaan juga membatalkan keperluan permit import (AP) bagi barangan makanan termasuk gandum, ayam itik dan susu untuk menambah bekalan domestik.
Kos barang makanan yang melambung akibat peningkatan harga komoditi global dan gangguan rantaian bekalan domestik akan terus mendorong peningkatan inflasi Malaysia pada bulan-bulan yang akan datang, menurut laporan penganalisis di TA Securities, hari ini.
Negara turut terjejas oleh harga import yang tinggi akibat nilai ringgit yang rendah, tambahnya.
Zafrul berkata, kerajaan memberi subsidi harga lebih tinggi berbanding tahun lepas untuk membantu golongan paling rentan di Malaysia. Namun impaknya terhadap bajet kerajaan diringankan oleh lonjakan harga komoditi, katanya.
“Dana kami mampu menanggungnya,” katanya.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sejurus selepas memegang kuasa pada 2018 bagi memenuhi ikrar kempen, tetapi ini memberi tekanan kepada hasil negeri.
Tahuj lepas seorang menteri berkata, penggubal dasar harus mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula cukai itu pada masa yang sesuai untuk meningkatkan hasil.
Ini memerlukan sokongan Parlimen, yang bermakna sebarang perubahan tidak akan berlaku sebelum, paling awal, pertengahan tahun depan, kata Zafrul.