
Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bahagian Pulau Pinang, K Veeriah, berkata gesaan dibuat Ammar Atan “sama sekali tidak boleh diterima”.
Beliau berkata, ia menunjukkan Ammar tidak memahami cabaran ekonomi dihadapi golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang bekerja di sektor PKS.
Katanya, golongan ini (PKS) telah “dibebani dengan kenaikan kos sara hidup akibat kenaikan harga makanan”.

“Dalam keadaan sebegitu, kami mendapati gesaan Pemuda Amanah itu ia tidak boleh diterima sama sekali untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minimum bagi PKS, kononnya atas alasan mereka tidak diberi masa yang cukup untuk bersiap sedia,” katanya dalam kenyataan.
“Jelas sekali, beliau telah ‘memilih’ untuk menutup mata mengenai fakta yang tidak dapat dipertikaikan bahawa pekerja berhempas pulas bekerja dalam PKS dan sektor tidak formal dengan gaji yang tidak menentu.”
Semalam, Ammar, yang merupakan pengarah biro ekonomi sayap itu, mencadangkan penangguhan dibuat kerajaan supaya tidak tergesa-gesa melaksanakan pelaksanaan gaji minimum.
Beliau berkata, ini menambah tekanan kepada aliran tunai majikan sektor PKS kerana terpaksa membayar gaji berdasarkan gaji minimum baharu, mulai bulan ini.
Jelasnya Ammar lagi, PKS masih dalam proses pemulihan ekoran pandemik dan masa diberikan tidak mencukupi untuk menyesuaikan diri dengan gaji minimum baharu.
Veeriah ketika mengulas lanjut, berkata memandangkan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 jelas menetapkan gaji minimum perlu disemak setiap dua tahun, pihak pengurusan PKS sepatutnya membaca undang-undang dan bersedia membayar gaji berdasarkan kadar yang disemak.
“Bagi Pemuda Amanah untuk “berkempen” bagi pihak pengurusan PKS, berbanding menonjolkan penderitaan pekerja, bukan sahaja menjijikkan malah tidak mempunyai justifikasi.”
Amanah, tambahnya, seharusnya mengambil berat tentang nasib pekerja dan bukannya bertindak sebagai jurucakap majikan.