Patuh peraturan atau berdepan tindakan, Wee beritahu syarikat e-hailing

Patuh peraturan atau berdepan tindakan, Wee beritahu syarikat e-hailing

Menteri pengangkutan berkata kadar surcaj tidak boleh melampau had 200% dikuatkuasakan kerajaan.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong sudah mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) menyiasat syarikat e-hailing yang melanggar kadar surcaj ditetapkan.
PETALING JAYA:
Kementerian Pengangkutan tidak akan teragak-agak menggantung atau membatalkan lesen syarikat e-hailing yang melanggar had kadar surcaj 200% dikuatkuasakan kerajaan, kata Wee Ka Siong.

Menteri pengangkutan memberi amaran itu susulan laporan peningkatan mendadak kadar tambang dikenakan sebuah syarikat e-hailing, baru-baru ini.

“Jangan paksa saya selia (industri e-hailing). Saya tidak mahu sampai ke tahap campur tangan dalam ekonomi gig,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Wee berkata, beliau sudah mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) menyiasat sama syarikat e-hailing itu melanggar kadar surcaj ditetapkan.

Walaupun kadar tambang asas bagi e-hailing tidak dikawal selia Putrajaya, namun surcaj tidak boleh melebihi dua kali ganda daripada jumlah tambang asas itu.

Semalam, Wee menjelaskan faktor utama peningkatan harga disebabkan ketidakseimbangan antara permintaan dan penawaran, termasuk kesesakan jalan raya.

Selain itu, beliau berkata, beberapa syarikat berkaitan menyaksikan penurunan sebanyak 30% pemandu berdaftar dibanding ketika sebelum pandemik, namun dijangka lebih ramai akan mula berdaftar sebagai pemandu pada masa terdekat.

Grab Malaysia dalam kenyataan semalam berkata, caj tambang perkhidmatannya dilihat berubah tidak menentu, baru-baru ini, berpunca daripada kekurangan pemandu yang bekerja ketika itu untuk memenuhi permintaan tinggi.

Katanya, pada pertengahan Mei lalu, jumlah pemandu di platform mereka masih dalam keadaan kurang 70% daripada keadaan sebelum pandemik.

“Kami perlu terangkan dengan jelas, bahawa kami tidak membuat sebarang perubahan terhadap struktur tambang. Grab menerima pakai model harga dinamik bagi memastikan penumpang mendapat perkhidmatan penghantaran apabila mereka memerlukan, dan pemandu kami diberikan bayaran yang adil bagi tenaga dan masa mereka.

“Apabila jumlah yang menempah perkhidmatan terlalu ramai berbanding jumlah pemandu di sedia ada di kawasan tertentu, caj tambang akan melonjak bagi menggalakkan lebih ramai pemandu ‘menghala’ ke arah lokasi penumpang,” katanya memetik laporan Bernama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.