
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata, orang ramai juga perlu tahu sama ada kes berkenaan melibatkan peringkat menteri atau timbalan menteri termasuk nilai rasuah yang diseleweng dan sebagainya.
“Apa sudah berlaku kepada nilai integriti dalam masyarakat kita sehingga ada orang yang sanggup mengambil kesempatan daripada malapetaka yang mengorbankan begitu banyak nyawa manusia dan mengancam kehidupan semua rakyat?
“Rakyat tidak boleh mengambil sikap tidak endah kepada masalah rasuah yang begitu teruk dan mesti tegas menuntut tindakan diambil terhadap perasuah yang tidak berperikemanusiaan ini,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, suruhanjaya anti-rasuah itu telah membuka beberapa siasatan berhubung perolehan perkhidmatan perubatan, penyalahgunaan kuasa dalam menyalurkan bantuan dan pakej rangsangan membabitkan perolehan perkhidmatan kesihatan.
Selain itu, siasatan turut membabitkan penipuan yang berkaitan dengan peralatan perlindungan perubatan yang dipalsukan seperti pelitup muka, sarung tangan dan lain-lain, iaitu dari segi kuantiti dan kualiti peralatan perubatan yang lebih rendah serta rasuah pegawai penguat kuasa dalam barisan penguatkuasaan ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Dalam pada itu, Loke menyeru Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memanggil Azam untuk memberi keterangan kepada jawatankuasa itu yang bertanggungjawab memastikan setiap perbelanjaan kerajaan diurus dengan baik dan sempurna.
“Orang ramai berhak mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan kes-kes rasuah tersebut tanpa menjejaskan proses siasatan SPRM.
“Sekiranya identiti seorang hakim Mahkamah Tinggi yang disiasat oleh SPRM boleh didedahkan secara terbuka, saya yakin SPRM boleh mengambil tindakan yang sama dalam kes rasuah yang melibatkan kepentingan orang ramai seperti ini,” katanya.