
Markas Divisyen Kedua Infantri dalam kenyataan memaklumkan, semua PATI berkenaan ditahan pada 5.45 pagi di kawasan ladang getah, sektor Op Benteng, yang merupakan kawasan tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.
Menurut kenyataan itu, pasukan Serang dan Tangkap (Serkap) yang berada di kawasan pagar sempadan mengesan kelibat sekumpulan orang awam yang sedang berjalan kaki dalam keadaan mencurigakan dan menahan kesemua mereka.
“Hasil pemeriksaan mendapati 13 lelaki dan 25 wanita yang berumur antara 15 hingga 40 tahun itu adalah warganegara Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
“Turut dirampas adalah 23 unit telefon bimbit dan wang tunai dalam mata wang Thailand dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan lebih RM10,000. Kesemua PATI itu diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan selanjutnya.”
Kenyataan itu memaklumkan pihaknya akan sentiasa mengawal sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan.