Tumpukan mentadbir, bukan jalankan perniagaan, kerajaan diberitahu

Tumpukan mentadbir, bukan jalankan perniagaan, kerajaan diberitahu

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata, kerajaan perlu mewujudkan persekitaran di mana syarikat boleh menjalankan perniagaan.

Rafidah Aziz berkata, beliau tidak dapat mengira berapa banyak GLC baharu yang menerima jumlah bayaran yang besar namun tidak menampakkan hasil.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan seharusnya memberi tumpuan kepada mentadbir, bukannya menjalankan perniagaan, kata bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz.

Beliau berkata, kerajaan sebaliknya perlu mewujudkan persekitaran di mana syarikat boleh menjalankan perniagaan, selain menambah bahawa syarikat ini akan membayar cukai yang boleh disalurkan untuk membantu rakyat.

“Kerajaan tidak sepatutnya menjalankan perniagaan atau mencalonkan sesiapa untuk menjalankan perniagaan,” katanya pada perbincangan panel anjuran Forum Perniagaan Global Malaysia (MGBF) di sini, hari ini.

Rafidah, yang merujuk kepada peningkatan bilangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Malaysia berkata, setiap kali ini berlaku ia menyaksikan penyalahgunaan dana awam yang menyebabkan rakyat menderita.

“Saya tidak dapat mengira berapa banyak syarikat baharu (GLC) yang menerima jumlah bayaran yang besar, tetapi kita tidak nampak hasilnya,” katanya.

Beliau berkata, untuk menarik pelaburan asing, Malaysia harus mempunyai “faktor penarik” yang diperlukan.

“Namun untuk membolehkan perkara ini berlaku, negara perlu mempunyai persekitaran operasi yang stabil dengan dasar positif pelabur yang boleh diramal,” katanya.

Rafidah juga berkata, kerajaan perlu mempunyai visi serantau dan global yang jelas, termasuk sentiasa menyesuaikan diri dengan perkembangan dalam pasaran.

“Berdasarkan perkembangan terkini dalam persaingan global, ia akan membolehkan keupayaan untuk mendahului pembangunan pada masa hadapan dan mencari penyelesaian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.