Trend guru bersara awal di Sarawak meningkat

Trend guru bersara awal di Sarawak meningkat

Seramai 490 guru bersara awal sejak tiga tahun lalu di negeri berkenaan.

Antara alasan guru memilih bersara awal membabitkan kesihatan, mengajar lebih 30 tahun, beralih ke bidang baharu dan memberi tumpuan kepada keluarga, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Roland Sagah Wee Inn.
PETALING JAYA:
Seramai 490 guru memilih untuk bersara awal di Sarawak di mana jumlah berkenaan dilihat meningkat sejak tiga tahun lalu, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Roland Sagah Wee Inn.

Beliau berkata, 138 guru memilih untuk bersara awal pada 2019, diikuti dengan 164 pada 2020 dan 188, tahun lalu.

Katanya, bagaimanapun jumlah guru bersara awal itu mewakili kurang daripada 1% daripada jumlah keseluruhan guru di negeri berkenaan.

“Sebab utama persaraan awal mereka adalah kesihatan, ada yang telah mengajar selama lebih 30 tahun dan memutuskan untuk beralih ke bidang baharu, dan ada yang mahu memberi tumpuan kepada keluarga,” katanya dalam ucapan di sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Roland Sagah Wee Inn.

Beliau berkata, oleh kerana aspek pengambilan guru berada dalam bidang kuasa Kementerian Pendidikan, kerajaan negeri telah mengemukakan beberapa syor dan cadangan kepada kementerian itu, dan ada beberapa cadangan itu telah diterima.

“Sebagai contoh, pengambilan guru secara one-off pada 2021, yang menyaksikan 2,393 guru diambil untuk Sarawak, dengan 766 daripadanya adalah anak Sarawak,” katanya memetik laporan Bernama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.