Pemilihan PKR: Pencalonan 20 MPP, Pemuda, Wanita dipinda 29 Mei

Pemilihan PKR: Pencalonan 20 MPP, Pemuda, Wanita dipinda 29 Mei

Calon yang layak bertanding boleh mendaftar secara dalam talian menerusi aplikasi Adil atau hadir secara fizikal di Ibu Pejabat PKR di Tropicana, Petaling Jaya.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR Dr Zaliha Mustafa memaklumkan kira-kira 90.84% daripada 76,932 yang mengundi secara dalam talian (PAT) telah mengundi sejak 18 Mei hingga 20 Mei. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Tarikh pencalonan bagi pemilihan 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Pemuda dan Majlis Pimpinan Wanita PKR yang sepatutnya berlangsung pada 28 Mei ini dipinda ke 29 Mei.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR Dr Zaliha Mustafa berkata calon yang layak bertanding boleh mendaftar secara dalam talian menerusi aplikasi Adil atau hadir secara fizikal di Ibu Pejabat PKR di Tropicana, Petaling Jaya.

Bagi pencalonan dalam talian, masa pencalonan bermula 12.01 tengah malam hingga 11.59 malam, manakala pencalonan secara fizikal di pusat pencalonan (Ibu Pejabat PKR) bermula 9 pagi hingga 5 petang.

“JPP 2022 mengharapkan lebih ramai anggota parti menawarkan diri masing-masing sebagai calon untuk jawatan MPP, sekali gus mempercepatkan proses parti menyiapkan diri menghadapi pilihan raya umum ke-15,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan takwim Pemilihan PKR 2022, proses pengundian dan keputusan bagi 20 jawatan pemuda dan wanita dijadualkan berlangsung pada Kongress AMK dan Wanita pada 24 Jun, manakala pengundi dan keputusan bagi 20 jawatan MPP pada Kongres Nasional, 25 Jun.

Zaliha turut memaklumkan kira-kira 90.84% daripada 76,932 yang mengundi secara dalam talian (PAT) telah mengundi sejak 18 Mei hingga 20 Mei.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Zaliha berkata tarikh keputusan tidak rasmi pemilihan peringkat MPP dan bahagian turut dipinda dan akan dipaparkan di laman sesawang Pemilihan Keadilan 2022 pada 29 Mei ini.

Pindaan itu dibuat susulan terdapat lapan cabang di empat negeri, terpaksa melakukan pengundian semula disebabkan beberapa masalah termasuk isu teknikal yang berlaku ketika pengundian fizikal.

Zaliha berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat mengenai penetapan tarikh pengundian semula bagi lapan bahagian terlibat dan pengumuman akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Semalam, JPP memaklumkan bahagian Gua Musang, Pengkalan Chepa, Bachok, Ketereh dan Tumpat di Kelantan, Dungun (Terengganu), Hulu Selangor (Selangor) dan Padang Serai (Kedah) terpaksa membuat undian semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.