Pelajar UUM mati mengejut, polis tunggu laporan bedah siasat

Pelajar UUM mati mengejut, polis tunggu laporan bedah siasat

Pelajar terbabit dipercayai mengalami serangan sawan namun polis masih menunggu laporan kimia berhubung kematiannya.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Rodzi Abu Hassan berkata, pelajar terbabit dipercayai mengalami serangan sawan, namun polis masih menunggu laporan kimia berhubung kematiannya.
PETALING JAYA:
Polis belum menerima hasil bedah siasat berhubung kematian seorang pelajar perempuan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Rodzi Abu Hassan mengesahkan menerima laporan berhubung kematian pelajar berusia 21 tahun itu, namun punca kematian masih belum dapat dikenal pasti dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Siasatan awal mendapati pelajar terbabit dipercayai mengalami serangan sawan, namun pihaknya masih menunggu laporan kimia berhubung kematiannya,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Dalam pada itu, Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok menerusi kenyataannya berkata, pihak universiti juga masih menunggu laporan lanjut berhubung kematian pelajar perempuan berkenaan.

Unit Komunikasi Korporat UUM berkata, pelajar terbabit, R Vinosiny adalah pelajar Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat).

Katanya, pihak universiti melahirkan rasa dukacita dengan pemergian pelajar terbabit, namun punca kematiannya masih belum diketahui setakat ini.

“Sehingga kini pihak universiti masih menunggu laporan penuh bedah siasat daripada Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

“Namun sebagai tanda keprihatinan, pihak UUM akan membantu meringankan beban keluarga mendiang dengan menyalurkan bantuan bersesuaian

“Naib canselor dan seluruh UUM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang,” menurut kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.