
Memorandum itu menggariskan keperluan kerajaan memantau kenaikan harga barangan dan perkhidmatan serta menggesa KPDNHEP melakukan pemantauan lebih kerap bagi menangani isu itu.
Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor memberi amaran bahawa satu himpunan mungkin diadakan di Putrajaya jika KPDNHEP tidak memberikan sebarang maklum balas.
“Kami tidak menghantar memorandum ini semata-mata untuk memburukkan mana-mana pihak tetapi ia lebih kepada tindakan sewajarnya supaya pengguna, khususnya golongan pekerja tidak terbeban,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap harga semua barangan keperluan yang dijangka meningkat sehingga 60% bulan depan.
Katanya, pelaksanaan gaji minimum RM1,500 juga akan menyumbang kepada kenaikan harga barang susulan peningkatan kuasa beli pengguna.
“Walaupun dengan penambahan gaji minimum RM1,500 menyebabkan kuasa beli meningkat, peniaga tidak boleh mengambil peluang untuk menaikkan harga barang.”
Dalam pada itu Kamarul menggesa kerajaan mengambil tindakan lebih tegas ke atas peniaga yang menyorok barangan daripada pengguna atau menghentikan sementara pengeluaran untuk memaksa kerajaan membenarkan kenaikan harga barangan.