
Selepas mesyuarat antara kementeriannya dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) dan pengendali e-hailing tertentu “yang terbabit dalam kenaikan tambang”, Wee berkata, lebih 130,000 orang kini memiliki lesen vokasional untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing.
“Angka ini dijangka bertambah apabila institut memandu dan pengendali e-hailing menerima lebih banyak calon untuk menjadi pemandu e-hailing bagi 21 pengendali dengan lesen aktif di seluruh negara, termasuk Lembah Klang.
“Pengendali berkenaan juga memberi jaminan kepada Kementerian Pengangkutan untuk memperuntukkan lebih banyak sumber ke arah meningkatkan bilangan pemandu yang ada pada masa ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wee berkata, dua faktor utama yang menyumbang kepada kenaikan tambang e-hailing ialah penawaran dan permintaan tidak seimbang serta kesesakan lalu lintas.
Katanya, beberapa syarikat e-hailing menyaksikan 30% penurunan bilangan pemandu berdaftar berbanding sebelum pandemik.
“Kekurangan pemandu e-hailing ini secara tidak langsung menyebabkan masa menunggu kenderaan di beberapa tempat menjadi lebih lama daripada jangkaan.
“Dalam masa sama, fasa peralihan ke endemik mulai 1 April lalu juga menyebabkan berlakunya peningkatan mendadak dalam permintaan perkhidmatan e-hailing.
“Tempoh yang sama juga menyaksikan orang ramai bergerak bebas bagi menjalankan aktiviti ekonomi dan kehidupan seharian seperti biasa, sekali gus menyumbang kepada kesesakan lalu lintas berbanding peringkat awal wabak menular.”
Dari segi tambang e-hailing, Wee berkata, terdapat dua caj, iaitu tambang asas dan surcaj. Kerajaan tidak mengawal tambang asas dan surcaj tidak boleh melebihi dua kali ganda daripada tambang asas dengan mengambil kira kadar waktu puncak dan harga bahan api.
“Pengendali dibenar menetapkan struktur tambang mereka berdasarkan formula sendiri dan syarat perkhidmatan mereka dengan pengguna dalam pasaran terbuka.”
Beliau menggesa pengendali e-hailing supaya meningkatkan saluran komunikasi dengan pengguna, manakala kementeriannya akan terus memantau industri itu untuk memastikan keadilan buat pengguna.