
Pakar kesihatan awam, Dr Zainal Ariffin Omar yang pernah berkhidmat dengan WHO berkata, pemilihan itu juga merupakan satu lagi pencapaian Malaysia dan pengiktirafan negara serantau serta global kepada perkhidmatan kesihatan negara amnya dan Khairy khususnya.
“Semoga Malaysia terus memainkan peranan yang aktif dalam isu-isu kesihatan global,” katanya menurut laporan Bernama ketika mengulas pelantikan Khairy sebagai seorang daripada lima naib presiden Perhimpunan Kesihatan Dunia ke-75, yang sedang berlangsung di Geneva, Switzerland.
Zainal berkata, pemilihan Khairy oleh WHA kelmarin juga adalah sebagai wakil 37 negara rantau Pasifik Barat lain dalam WHO.
Katanya, pencalonan dibuat negara Pasifik Barat WHO semasa mesyuarat di Himeji, Jepun pada Oktober 2021.
Beliau berkata, Malaysia pernah menjadi naib presiden WHA pada 2004 semasa Dr Chua Soi Lek menjadi menteri kesihatan dan pada 2016 ketika jawatan itu disandang Dr S Subramaniam.
Khairy disahkan sebagai salah seorang naib presiden perhimpunan itu kelmarin. Empat negara lain yang turut dipilih sebagai naib presiden WHA ialah Bulgaria, Indonesia, Togo dan Amerika Syarikat.
Zainal berkata, beliau pernah menyertai Chua ketika mesyuarat WHO peringkat rantau Pasifik Barat berlangsung di New Zealand serta bersama Subramaniam ketika mesyuarat sama berlangsung di Guam.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah yang juga berada di Geneva dalam hantarannya di Facebook berkata, pemilihan itu merupakan satu penghormatan buat Malaysia.
“Terutamanya Kementerian Kesihatan dan semua petugas barisan hadapan yang telah mengorbankan masa dan tenaga sepanjang pandemik Covid-19,” katanya.