
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, ia adalah peningkatan 20 kali ganda berbanding jumlah kes yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, terdapat peningkatan kes HFMD sebanyak 106.6% berbanding minggu sebelumnya, iaitu melonjak daripada 7,526 kepada 15,548 kes.
Katanya, kebanyakan kes (93%) dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah, diikuti 6% dalam kalangan mereka yang berumur tujuh hingga 12 tahun.
Beliau berkata, majoriti kes itu berlaku di Selangor, iaitu 29.9%, diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya (13.1%), Perak (8.7%), Kelantan (7.9%) dan Sabah (7.1%).
Hisham turut mendedahkan tiga virus utama yang menyebabkan penularan HFMD dalam komuniti dikesan sejak awal 2022, iaitu Coxsackie A16 (CA16), Coxsackie A6 (CA6) dan Enterovirus 71 (EV71).
“Terdapat dua pesakit HFMD positif EV71 yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis). Kedua-dua kes tersebut adalah kanak-kanak bawah enam tahun,” katanya.
Sehingga kini, sebanyak 1,168 wabak dilaporkan di Malaysia, dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan jumlah tertinggi dengan 413 wabak (35.4%), diikuti Selangor dengan 143 wabak (12.2%) dan Perak 130 wabak (11.1%).
Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tadika dan pra-sekolah.
Semalam, Pengarah Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Nor’ Aishah Abu Bakar berkata, sebanyak 6,197 kes HFMD direkodkan sehingga minggu epidemiologi 20 (ME20) yang berakhir 21 Mei lalu.
Hanya 403 kes dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.