
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, sistem itu yang membolehkan pemantauan masa nyata (real-time) diharap dapat menyelesaikan masalah majikan yang tidak atau lewat membayar gaji yang biasa dilaporkan sebelum ini.
Kumpulan pertama pembantu rumah Indonesia baharu dijangka dihantar seawal hujung bulan ini.
Menerusi sistem upah elektronik itu, KSM sebelum ini berkata, pihak berkuasa akan dapat maklumat awal “tanpa perlu menunggu aduan daripada pekerja”.
“Jangan sampai ada orang yang tidak dibayar (selama) bertahun-tahun sebab (dulu) kami tak tahu (mereka tak dibayar gaji). Sekarang kami tahu. Kami boleh pantau (melalui e-wages).
“Boleh kamu bayangkan, ada orang (pekerja Indonesia) bekerja 12 tahun tak dibayar? Dengan adanya pemantauan daripada e-wages, kita boleh lihat, oh ini (majikan) sudah bayar (gaji), ini (majikan) belum bayar (gaji),” katanya kepada FMT.
Menurut memorandum persefahaman yang dimeterai Malaysia dan Indonesia pada April, majikan perlu membayar gaji pembantu rumah asing terus ke akaun bank pekerja terbabit selewat-lewatnya pada hari ketujuh pada setiap bulan.
Tambahan 5% daripada jumlah gaji yang belum dibayar akan dikenakan sebagai pampasan sekiranya gaji tidak dibayar tepat pada masa.
Kegagalan membayar gaji selama dua bulan berturut-turut membolehkan pembantu rumah menamatkan kontrak dan layak mendapat pampasan.
“Ini adalah upaya. Saya kira ini bukan hanya baik untuk Indonesia sahaja tapi ini pun baik untuk Malaysia sebab Malaysia pun ada persoalan (dakwaan) buruh paksa. (Malaysia) jadi sorotan (tumpuan) antarabangsa, dihalang produknya disebabkan isu buruh paksa,” ujar Hermono.
Hermono memberitahu di kedutaannya kini terdapat 35 pekerja domestik yang diberikan perlindungan susulan dakwaan dizalimi majikan termasuk tidak dibayar gaji dan dera.
Rata-rata mereka sedang menunggu kes dibicarakan di mahkamah.
“Yang selalu dipersalahkan adalah pekerjanya. Kenapa anda (jadi pekerja) tidak sah? Kenapa anda tak ada permit? Kenapa tidak ada kontrak kerja. Mereka tak tanya majikan. Harusnya (kena soal majikan) kenapa anda tak uruskan permit dia? Tanggungjawab uruskan permit adalah majikan. Pekerja mana boleh uruskan permit kerja sendiri.
“Tidak ada hukuman sama sekali untuk (pada majikan) yang menggaji pekerja yang tiada dokumen (perjalanan yang sah). Kenalah adil. Undang-undang itu harus melibatkan dua-dua pihak,” tegas Hermono.
Menurut MoU Jakarta-KL, majikan perlu membayar gaji RM1,500 sebulan kepada pembantu rumah baharu dan diperbaharui kontrak.
Media melaporkan sebelum ini pekerja domestik dibayar serendah RM900 sebulan, malah ada yang lebih rendah jika tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.