
Setiausaha Agungnya, Loke Siew Fook berkata, keputusan itu hanya menyelesaikan masalah jangka pendek isu bekalan ayam.
Katanya, dengan tidak melihat masalah kekurangan bekalan, termasuk membabitkan barang makanan lain yang berlaku secara menyeluruh, perkara sama akan berulang.
“Apa yang dilakukan, keputusan seperti kerajaan kata batalkan AP untuk makanan dan sebagainya, itu satu tindak balas tergesa-gesa.
“Mereka tak lihat masalah secara keseluruhannya, jadi pelbagai jaminan diberikan tetapi ia tidak laku lagi, jaminan itu tetap menjadi masalah,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pasar Pudu bagi meninjau bekalan makanan dan harga barangan.
Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan akan dihentikan mulai 1 Jun sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil untuk memberi keutamaan terhadap rakyat.
Katanya, ketetapan itu antara beberapa langkah jangka pendek yang diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri bagi menangani masalah bekalan dan harga ayam ketika ini.
Sementara itu, pada 18 Mei diumumkan bahawa kerajaan memutuskan untuk menghapuskan syarat AP bagi mengimport sebarang bahan makanan berkuat kuasa serta-merta.
Mengulas lanjut, Loke berkata, apa yang berlaku ketika ini menunjukkan salah satu daripada kegagalan kerajaan dalam menangani masalah rakyat.
Ini adalah isu asas yang penting membabitkan bekalan makanan, katanya.
“Kalau itu pun tak dapat tangani, bagaimana rakyat ada keyakinan terhadap kerajaan untuk tangani masalah lebih besar?”
Beliau juga mempersoalkan peranan Majlis Tindakan Sara Hidup yang diwujudkan kerajaan dalam menangani masalah membabitkan pengguna.
Katanya, majlis itu sepatutnya bertindak lebih awal sebelum sesuatu menjadi krisis.
“Majlis Kos Sara Hidup (ketika itu), semasa kita dalam kerajaan (Pakatan Harapan) ia dipengerusikan oleh timbalan perdana menteri, sekarang kita tak tahu siapa pengerusi,” katanya.
Menerusi sidang medianya juga Loke berkata, tinjauan pihaknya hari ini mendapati rata-rata peniaga, khususnya peniaga ayam, merungut kekurangan bekalan lebih 50%.
“Ada peniaga merungut bahawa sebelum ini dapat 1,600 ekor ayam sehari, kini tinggal 500 sehari dan mereka tak dapat jual kepada pelanggan individu.
“Kebanyakan ayam yang dapat hanya akan dijual kepada pelanggan tetap yang menempah untuk perniagaan kedai makanan.
“Malah harga siling ayam kerajaan tetap pada RM8.90 sekilogram, tetapi disebabkan bekalan kurang, ayam dijual pada harga RM11 sekilogram di pasaran,” katanya.