Bekas diplomat ditahan, miliki ladang hampir 100 pokok ganja

Bekas diplomat ditahan, miliki ladang hampir 100 pokok ganja

Difahamkan, suspek pernah berkhidmat di kedutaan Malaysia di Asia Tenggara dan Timur Tengah.

Ketua Polis Pahang, Ramli Mohamed Yoosuf (kanan) menunjukkan pokok ganja yang dirampas daripada rumah seorang bekas diplomat di Janda Baik pada Sabtu lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang bekas diplomat negara berpangkat “Datuk” ditahan kerana disyaki menanam dan memiliki ladang pokok ganja dengan hampir 100 batang pokok terlarang itu.

Difahamkan suspek pernah berkhidmat di kedutaan Malaysia di Asia Tenggara dan Timur Tengah.

Kes ini dianggap rampasan pokok ganja terbesar dalam sejarah narkotik negara kerana kebanyakan rampasan sebelum ini hanya membabitkan pokok ganja yang ditanam dalam pasu.

Harian Metro memetik sumber sebagai berkata, anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menyerbu kediaman suspek di Janda Baik, Pahang, sekitar 6 petang kelmarin.

“Difahamkan, polis menahan lelaki warga emas terbabit sebelum menemui beberapa batas tanah yang dipercayai digunakan untuk menanam pokok ganja.

“Turut ditemui deretan pokok ganja yang ditanam di sekeliling kediaman itu. Pemeriksaan lanjut polis menemui bekas berisi cecair dipercayai minyak ganja, selain daun ganja yang sudah dikeringkan.

“Suspek dipercayai menanam pokok ganja itu secara serius, susulan penemuan bekas plastik semaian di lokasi yang diserbu.”

Sumber itu berkata, polis masih menyiasat bagaimana suspek memperoleh benih pokok ganja itu dan tujuan ia ditanam secara besar-besaran.

Suspek direman sehingga 28 Mei ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 6B dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.