Syarikat AS tumpu lubuk bakat Malaysia

Syarikat AS tumpu lubuk bakat Malaysia

Accion Labs yakin dapat menarik permintaan antarabangsa ke Malaysia, sekali gus mewujudkan pekerjaan di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Accion Labs, Kinesh Doshi berkata, syarikatnya boleh menarik bakat ke Malaysia.
PETALING JAYA:
Dengan lebih sedekad pengalaman dalam sektor teknologi digital, Accion Labs yang berpangkalan di Amerika Syarikat kini berusaha menarik perhatian komuniti perniagaan global ke Malaysia.

Dalam temu bual dengan FMT, Ketua Pegawai Eksekutif Accion Labs, Kinesh Doshi percaya syarikat itu boleh menarik permintaan antarabangsa ke Malaysia, sekali gus mewujudkan pekerjaan di sini berdasarkan pengalaman lebih 10 tahunnya dalam teknologi baharu muncul.

Beliau berkata, mereka mempunyai pelanggan di seluruh dunia yang sanggup ke mana sahaja jika bakat dalam teknologi digital itu wujud.

“Kami bawa banyak pengalaman yang tidak dimiliki orang lain. Dengan pelaburan yang sesuai, kami boleh melatih ramai orang dalam ekonomi tempatan,” katanya.

“Namun kami juga boleh menghubungkan Malaysia dengan kumpulan bakat global kami dan membawa bakat antarabangsa ke Malaysia.

“Berdasarkan pengalaman yang kami ada, kami akan mendigitalkan lebih banyak syarikat di Malaysia dan diharapkan dapat mewujudkan lebih banyak impak hiliran.”

Kinesh berkata, syarikat itu melihat daya tarikan lebih besar dalam meyakinkan pelanggan Eropah dan AS menubuhkan pangkalan operasi di Malaysia.

“Malaysia adalah lubuk budaya yang pelbagai. Terdapat begitu banyak tempat menarik seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan lain-lain yang boleh menarik bakat dari luar negara,” katanya.

Pengasas Accion Labs, Kinesh Doshi, Sandesh Sukumaran dan Tony Kernan. (Gambar Accion Labs)

Kinesh bersama rakan kongsinya, Sandesh Sukumaran dan Tony Kernan, mengasaskan Accion Labs pada 2011. Syarikat itu aktif di Malaysia sejak lima tahun lepas dan Kinesh memetik bakat yang belum diterokai sebagai sebab utama untuk datang ke negara ini.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai dasar imigresen yang mesra berbanding beberapa negara lain di rantau ini, manakala infrastruktur baik dan rakyat yang fasih berbahasa Inggeris juga menjadi mata tambahan bagi syarikat itu.

Walaupun wabak Covid-19 bermakna perniagaan berdepan masalah sementara, syarikat itu kini “berkembang pesat di Malaysia” dengan pasukan kepimpinan yang diperluas dan sokongan daripada agensi kerajaan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Kinesh berkata, syarikatnya berusaha mewujudkan penyatuan budaya global tanpa mengira lokasi pejabatnya kerana beliau percaya ekonomi semasa bersifat global atau apa yang digelarnya “ekonomi Facebook”.

Bagi Accion Labs, ini diterjemahkan dalam budaya harmoni kerja-kehidupan yang menyaksikan mereka berusaha memastikan pekerja mempunyai keseimbangan antara lainnya antara komitmen terhadap kerja dan keluarga.

“Memiliki titik penyatuan budaya itu menjadi satu sebab utama bagi kejayaan dan pertumbuhan kami,” kata Kinesh, yang berasal dari Delhi, India, dan kini tinggal di Florida.

Dalam tempoh hanya lebih 10 tahun, Accion Labs berjaya mengangkat diri sebagai syarikat kejuruteraan digital dan inovasi yang popular di peringkat global.

Menceritakan perjalanan syarikat itu, Kinesh menyebut tiga faktor utama yang menyumbang kepada kemajuan pantas Accion Labs di AS.

Beliau berkata, tumpuan pada teknologi baharu muncul bermakna mereka berada dalam segmen yang mendapat permintaan tinggi sejak 10 tahun lepas.

Memandangkan kebanyakan pemimpin AS menceburi sektor teknologi, syarikat itu dapat membina portfolio besar dalam rangkaian dan akses kepada pangkalan pelanggan yang kukuh.

Namun faktor ketiga, yang menurut Kinesh menjadi pembeza terbesar bagi syarikat itu, adalah Accion Labs menyedari dari awal bahawa pasaran yang diceburinya bukan dipacu permintaan, tetapi bekalan.

“Banyak syarikat mempunyai akses kepada pembeli. Namun apa yang mereka tidak dapat fikirkan adalah cara untuk mencipta model yang dapat mencetus dan menghasilkan bakat, mengupah, melatih mereka dan juga mengekalkan bakat,” katanya.

Ini yang berjaya dilakukan oleh Accion Labs, kata Kinesh.

“Ini bermakna kita perlu memastikan mereka bermotivasi dan teruja,” katanya.

“Kami bermula dengan AS, kemudian membuka pejabat di India, Singapura, Malaysia dan kini kami berada di Filipina, Romania dan Mexico. Kami pergi ke mana bekalan dan bakat wujud dan itu membolehkan kami berkembang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.