Mahkamah tolak saman fitnah Apandi terhadap Kit Siang

Mahkamah tolak saman fitnah Apandi terhadap Kit Siang

Mahkamah Tinggi mendapati kenyataan diterbitkan Lim Kit Siang pada 2019 bukan fitnah.

Bekas peguam negara, Apandi Ali menfailkan saman fitnah terhadap Lim Kit Siang kerana didakwa tidak bermoral dan tidak beretika, tidak berintegriti dan dwi standard ketika memegang jawatan itu.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menolak saman fitnah bekas peguam negara, Apandi Ali terhadap Lim Kit Siang berhubung artikel diterbitkan oleh veteran DAP itu pada 2019.

Hakim Azimah Omar mendapati kenyataan Lim dalam artikel bertajuk “Dangerous fallacy to think Malaysia is on the road to integrity” bukan fitnah.

Dalam tuntutan mahkamahnya, Apandi mendakwa kenyataan ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak bermoral dan tidak beretika, tidak berintegriti dan mengamalkan dwistandard ketika memegang jawatan peguam negara.

Mahkamah juga menganugerahkan kos RM10,000 kepada Lim.

Dalam keputusannya, Azimah berkata, Lim membuktikan pembelaannya dengan komen yang adil dan berhak membuat kenyataan.

“Adalah diketahui gesaan untuk menyiasat dan mendakwa mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB telah kedengaran di saluran rasmi sejak bertahun-tahun.

“Pasukan petugas yang melibatkan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), polis dan Jabatan Peguam Negara ditubuhkan untuk menyiasat dan membuat syor yang sewajarnya mengenai 1MDB.

“Ternyata aduan ini (mengenai salah laku) kepada saluran yang betul telah diterima sehingga kejatuhan Barisan Nasional,” katanya.

Azimah menegaskan Lim wajar mempersoalkan keengganan Apandi untuk bertindak ke atas kes 1MDB.

“Sememangnya tindakan plaintif tidak bertindak seolah-olah membantu 1MDB dan mereka yang (didakwa) terlibat.

“Defendan (Lim) telah memberikan bukti konkrit untuk mewajarkan kenyataannya dan keterangan itu memberi alasan yang munasabah untuk menyiasat plaintif bagi menutup kes 1MDB,” katanya.

Mahkamah menyatakan bahawa semasa pemeriksaan balas pembelaan terhadap Apandi, beliau mengakui adalah “wajib” untuk mendapatkan bantuan undang-undang daripada negara asing mengenai siasatan 1MDB.

“Sebagai seorang peguam pegara, beliau mesti proaktif, tidak gentar dan bertindak tegas untuk memastikan tiada jenayah terbiar,” kata Azimah.

Apandi diwakili peguam M Visvanathan dan V Sanjay Nathan manakala Ramkarpal Singh dan Sangeet Kaur Deo mewakili Lim.

Mengapa Lim tidak hadir di mahkamah, tanya hakim

Terdahulu, sebelum mahkamah membuat keputusan, Azimah bertanya mengapa Lim tidak hadir.

“Adakah dia tahu hari ini (ditetapkan) untuk keputusan?” soalnya.

Sangeet kemudian memberitahu mahkamah bahawa Lim menyedari keputusan itu hari ini dan peguam hadir bagi pihaknya.

Bagaimanapun Azimah tidak menerima justifikasi itu dan mendesak Lim untuk hadir di mahkamah.

Sangeet mengemukakan permohonan maaf, mengatakan Lim tidak bermaksud untuk tidak menghormati mahkamah.

“Dia bersedia (untuk menerima keputusan) secara dalam talian jika mahkamah membenarkan,” tambahnya.

Visvanathan berkata, mereka tidak mempunyai bantahan jika Lim tidak hadir hari ini.

“Tetapi mungkin lebih baik jika dia ada di sini,” tambahnya.

Lim kemudiannya menyertai prosidings secara dalam talian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.