
Pengerusi Mais, Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata tindakan itu dibuat selepas kumpulan guru terbabit dinasihat banyak kali untuk mendapatkan dos vaksin berkenaan.
Katanya, langkah itu juga dibuat berdasarkan undang-undang sedia ada, demi kebaikan semua pihak khususnya kerana tugas seorang guru perlu berinteraksi dengan murid.
“Kami mengikut peraturan dan prosedur undang-undang. Kami beri ingatan dan nasihat, jika tidak ikut juga, kami tidak mempunyai pilihan lain (tamatkan kontrak).
“Perkara ini (nasihat untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19) masih tidak diikuti, jadi pihak kerajaan Selangor melalui Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) perlu tindakan tegas supaya tidak menjadi ikutan kepada yang lain,” katanya menurut laporan Bernama.
Khamis lalu, FMT melaporkan pasangan suami isteri guru Kafa yang ditamatkan kontrak perkhidmatan oleh JAIS bulan ini kerana menolak vaksin Covid-19, terpaksa bekerja sebagai penghantar makanan untuk menyara tiga anak.
Pada 18 Mei, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata kerajaan negeri akan mendapatkan maklumat daripada Bahagian Pendidikan Jais berhubung guru Kafa yang ditamatkan kontrak pada awal Mei kerana menolak vaksin Covid-19.