Selepas 5,000 veteran ATM rancang himpunan aman, Hishammuddin umum ada ‘berita baik’

Selepas 5,000 veteran ATM rancang himpunan aman, Hishammuddin umum ada ‘berita baik’

Menteri kanan pertahanan berkata antara berita baik itu membabitkan tribunal pengampunan bekas tentera dan menambah baik perkara berkaitan pencen terbitan untuk balu tentera.

Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein pada Sambutan Ulang Tahun Persatuan Veteran ATM ke-100 di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya, hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Selepas 5,000 veteran tentera dikatakan merancang mengadakan perhimpunan aman di ibu negara 6 Jun ini, Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein, hari ini, berkata ada “berita baik” akan diumumkan bagi menghargai perjuangan dan pengorbanan veteran.

Pada 11 Mei lalu, Pengerusi Aman Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Abdul Rahman Husain, berkata himpunan itu juga akan diadakan secara serentak di semua negeri bertujuan menyuarakan rasa tidak puas hati kepada kerajaan yang didakwa tidak menjaga kebajikan tentera berpencen, tidak berpencen dan diberhentikan.

Memetik laporan Sinar Harian, Rahman turut memohon Majlis Angkatan Tentera (MAT) memberi pertimbangan supaya anggota tentera diberi hak yang sama seperti penjawat awam lain iaitu diberi pencen setelah berkhidmat sekurang-kurangnya 10 tahun perkhidmatan.

Katanya, MAT perlu menubuhkan satu Lembaga Pengampunan dengan meringankan hukuman segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan pegawai atasan bagi mereka yang layak.

Hishammuddin ketika mengulas lanjut berkata, antara berita baik dimaksudkan berhubung tribunal pengampunan bekas tentera dan menambah baik perkara berkaitan pencen terbitan untuk balu tentera.

Beliau berkata, keperluan veteran ATM yang menyentuh kepada kebajikan dan pembelaan nasib mereka akan diteruskan dan usahanya memimpin Kementerian Pertahanan sembilan bulan lalu akan membawa lebih banyak berita gembira.

“Namun, ia perlu menunggu masa yang sesuai untuk diumumkan kerana ia melibatkan kementerian dan jabatan lain serta perkara bersandarkan kepada peruntukan yang kini sedang dalam perbincangan.

Saya beri jaminan mana-mana yang dapat diselesaikan, kita akan umum dalam masa terdekat. Dua perkara yang saya sebut itu dah sampai ke tahap saya, boleh umum dalam masa terdekat,” katanya memetik laporan Bernama.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan upacara perbarisan veteran ATM sempena Sambutan Ulang Tahun Persatuan Veteran ATM ke-100, di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya, hari ini.

Hishammuddin berkata, veteran ATM boleh menyuarakan keinginan mereka tetapi perlu juga memahami kedudukan kehendak mereka dengan cabaran keadaan semasa.

“Antaranya memerlukan perancangan kewangan negara yang cukup teliti terutamanya ketika negara masih dalam usaha untuk pulih semula daripada kesan pandemik selama lebih dua tahun ini.

Isu yang dibangkitkan veteran, datang dan pergi mengikut zaman tetapi kewujudan veteran serta maruah tersebut mesti dipertahankan dan untuk mempertahankan kedudukan persatuan dan perjuangan itu bukan bersandarkan kepada wang ringgit tetapi kepada pegangan nilai perjuangan yang sinonim dengan bekas anggota ATM,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.