Pemilihan PKR: Silakan siapa mahu jadi ‘hero’ di Gombak, kata Amirudin

Pemilihan PKR: Silakan siapa mahu jadi ‘hero’ di Gombak, kata Amirudin

Kira-kira 3,000 pengundi Bahagian Gombak layak mengundi bagi pemilihan PKR penggal 2022/2024.

Amirudin Shari ditemui media selepas meninjau proses pengundian Pemilihan PKR Bahagian Gombak hari ini.
GOMBAK:
Penyandang Ketua Bahagian Gombak Amirudin Shari mengalu-alukan individu yang ingin menjadi “hero” di kawasan berkenaan namun yakin ahli PKR akan tetap memilih beliau berdasarkan gerak kerja dilakukan selama berbelas tahun bersama akar umbi.

“Kita bukan baru dua, tiga atau enam bulan (di Gombak). Kita telah ada di sini berbelas tahun bersama anggota, saya rasa mereka lebih mengenali kita dan ini pasukannya yang bawa kemenangan kepada kita tiga kali (PRU) berturut-turut.

“Bagi yang merasakan ingin datang dan menjadi hero atau jaguh, terpulang kepada kaedah masing-masing tetapi kita lebih yakin dengan pembangunan jangka panjang yang telah dirangka oleh kepimpinan parti,” kata Amirudin yang juga pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor.

Beliau berkata demikian selepas meninjau proses pengundian Pemilihan PKR Bahagian Gombak di sini.

Terdahulu, ketika meninjau proses pengundian di lokasi sama, calon ketua Bahagian Gombak Farhash Wafa Salvador berkata beliau yakin mampu menawan hati pengundi ahli PKR kawasan itu walaupun hanya tampil sebagai ahli biasa.

“Insya-Allah tak kalah, tak kalah…tengok muka saya hari ini. Senyum saja, macam pengantin. Lepas ni kalau Amirudin datang, tengok muka dia. Kalau muka dia monyok je, kalahlah tu,” katanya.

Mengulas proses pemilihan PKR secara fizikal di Selangor hari ini, Amirudin berkata semua bahagian berjalan lancar dan terkawal walaupun berlaku sedikit ketegangan.

Dalam pada itu, katanya, pemilihan Bahagian Hulu Selangor juga terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain disebabkan beberapa faktor termasuk pusat pengundian kurang sempurna.

“Jika dilakukan juga, proses pengundian akan ambil masa panjang. Diharapkan Jawatankuasa Pemilihan Parti ambil alih peranan sediakan tempat pengundian yang sesuai,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga menteri besar Selangor berkata lebih 800 ahli Bahagian Gombak dianggarkan keluar mengundi sehingga proses undian tamat 5.30 petang ini.

“Setakat jam 3 petang kira-kira 700 ahli sudah menjalankan tanggungjawab masing-masing. Undian dalam talian melibatkan lebih 2,100 orang dan keseluruhan kita jangka 3,000 ahli mengundi kali ini,” katanya.

Pemilihan PKR penggal 2022/2024 menyaksikan Amirudin menawarkan diri merebut jawatan ketua Bahagian Gombak dan dicabar Farhash yang juga pengerusi PKR Perak.

Keputusan tidak rasmi calon yang menang akan dipaparkan di laman web rasmi PKR dalam tempoh 24 jam selepas proses pengundian tamat Ahad ini, sementara keputusan rasmi akan diumumkan di Kongres Nasional PKR pada 25 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.