‘Long Covid’ jejas keupayaan belajar jangka panjang kanak-kanak, kata pakar

‘Long Covid’ jejas keupayaan belajar jangka panjang kanak-kanak, kata pakar

Kanak-kanak mesti diberikan vaksin Covid-19 untuk mengelakkan mereka terdedah kepada risiko masalah pembelajaran akibat 'brain fog'.

Ibu bapa perlu memastikan anak mereka yang berusia lima hingga 12 tahun menerima suntikan vaksin Covid-19, kata pakar virologi, Dr Kumitaa Theva Das.
GEORGE TOWN:
Seorang ahli akademik memberi amaran keupayaan belajar kanak-kanak mungkin terkesan akibat “long Covid”.

Dr Kumitaa Theva Das dari Universiti Sains Malaysia berkata, disfungsi kognitif membimbangkan susulan laporan antarabangsa baru-baru ini menunjukkan satu dalam empat kanak-kanak yang dijangkiti berkemungkinan mengalami long Covid.

Disfungsi kognitif atau “brain fog” adalah satu daripada kira-kira 200 simptom Covid-19.

“Sebelum ini, kanak-kanak disangka kurang berisiko terkesan dengan Covid-19. Namun, mereka kini dilihat lebih berisiko disebabkan kadar kebolehjangkitan varian BA.2 Omicron yang lebih tinggi,” kata pakar virologi itu kepada FMT.

Amerika Syarikat yang sebelum ini merekodkan 17% kanak-kanak dijangkiti Covid-19, baru-baru ini mendapati kes sebenar melibatkan golongan itu hampir 70%.

Di Malaysia, Kumitaa berkata, kira-kira 10% hingga 15% kes harian melibatkan kanak-kanak, namun beliau mengakui jumlah sebenar mungkin lebih tinggi.

Beliau menasihatkan ibu bapa memastikan anak berusia lima hingga 12 tahun mendapat suntikan vaksin lengkap kerana ia mampu mengelakkan kanak-kanak mengalami masalah pembelajaran akibat “brain fog”.

Dr Kumitaa Theva Das.

Katanya, kanak-kanak boleh menunjukkan tanda-tanda long Covid antara satu hingga tiga bulan selepas dijangkiti, walaupun dalam kes tidak bergejala.

Beliau berkata, walaupun long Covid berbeza dalam setiap kanak-kanak, apa yang dialami mereka mungkin serupa dengan golongan dewasa, termasuk kelesuan teruk, sesak nafas, sakit kepala berulang, kesukaran memberi tumpuan dan gangguan tidur.

“Ini mampu menjejaskan kesejahteraan fizikal, mental dan sosial mereka. Contohnya, seseorang yang aktif bersukan tidak dapat melakukannya lagi kerana masalah pernafasan, atau pelajar cemerlang sering sakit kepala.

“Lebih teruk lagi, kesan ini mungkin dialami selama berbulan-bulan. Jadi, berilah suntikan vaksin kepada kanak-kanak yang boleh mendapatkannya.”

Beliau turut menyentuh penyakit baharu yang timbul, seperti Kawasaki, Sindrom Keradangan Pelbagai Sistem dalam Kanak-kanak (MIS-C) dan hepatitis. Tegasnya, ibu bapa perlu peka dengan gejalanya dan mendapatkan rawatan perubatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.