Kerenah birokrasi, penternak merungut sukar tuntut subsidi ayam

Kerenah birokrasi, penternak merungut sukar tuntut subsidi ayam

Proses tuntutan terpaksa melalui banyak tapisan, malah ada mendakwa permohonan penternak tidak sampai ke peringkat kementerian walaupun sudah dihantar di peringkat daerah dan negeri.

Penternak juga berdepan tuntutan mereka ditolak sekiranya menjual ayam tidak mengikut paras harga ditetapkan kerajaan walaupun berdepan peningkatan kos operasi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerenah birokrasi termasuk tuntutan subsidi ayam tidak dapat diuruskan secara dalam talian dipercayai menjadi punca bantuan itu tidak dapat ditebus penternak.

Pengarah Urusan Ayam Bismi Empayar Sdn Bhd, Mazlina Kamarudin, berkata ketiadaan sistem tuntutan subsidi harga ayam dalam talian menyulitkan proses permohonan, selain kerenah birokrasi yang perlu dihadapi.

“Penternak juga perlu mengharungi beberapa lapisan birokrasi, bermula di peringkat daerah untuk menghantar permohonan tuntutan. Kalau nak hantar permohonan, kami diberitahu untuk serah di peringkat daerah mengikut lokasi di mana ladang ternakan beroperasi.

“Pihak di peringkat daerah ini akan perbetul dan tengok apa masalah permohonan dan akan hubungi balik untuk pihak penternak betulkan. Saya lihat, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) seperti tidak biasa untuk uruskan sebab ini urusan kali pertama untuk mereka.

“Apabila daerah sudah siap memeriksa permohonan, mereka akan hantar ke negeri. Di peringkat negeri pun, mereka tidak ada pengalaman untuk kendalikan. Pernah saya tanya status permohonan yang dihantar, pejabat di peringkat Putrajaya kata tak ada pun permohonan kami,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Rabu lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyarankan penternak yang belum menghantar tuntutan berkaitan subsidi harga ayam kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk segera melakukannya.

Ismail berkata, Kabinet dimaklumkan kementerian itu masih belum menerima tuntutan berkenaan daripada pihak berkaitan.

Seorang penternak yang hanya mahu dikenali sebagai Helmi, mendakwa ada permohonan untuk menuntut subsidi harga ayam sebanyak 60 sen yang dihantar kepada JPV ditolak kerana dikatakan tidak menepati syarat ditetapkan.

“Alasannya, harga ayam dikemukakan penternak dalam tuntutan subsidi itu dikatakan tidak menepati harga ditetapkan kerajaan,” katanya yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam industri penternakan ayam.

Beliau menyifatkan subsidi yang dituntut tidak setimpal dengan kenaikan pelbagai kos operasi penternakan ayam ketika ini, termasuk makanan ternakan berkenaan.

“Harga yang penternak letak tidak kena dengan harga subsidi ditetapkan kerajaan. Kalau nak subsidi, penternak kena jual ayam pada RM5.90 sekilogram, tetapi mereka nak jual RM6.80 sekilogram. Ia menyebabkan tuntutan subsidi ditolak sebab tak ikut harga kawalan seperti ditetapkan kerajaan.

“Ada penternak yang tak ikut harga ditetapkan kerajaan. Kalau bagi subsidi sekalipun, harga ayam di pasaran masih mahal,” katanya.

Pada 9 Feb lalu, Kabinet bersetuju memberi subsidi harga ayam dan telur ayam kepada penternak sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee dilaporkan, berkata penternak akan menerima subsidi 60 sen sekilogram bagi ayam hidup dan ayam bulat serta 5 sen bagi sebiji telur ayam tanpa mengira kategori.

Subsidi selama empat bulan hingga 4 Jun depan, dijangka membabitkan peruntukan RM528.52 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.