Harga alat ganti naik 40%, pemulihan industri bas boleh lumpuh, dakwa persatuan

Harga alat ganti naik 40%, pemulihan industri bas boleh lumpuh, dakwa persatuan

Sekretariat Gabungan Bas Malaysia berkata industri bas semakin sukar pulih memandangkan harga alat ganti meningkat 20 hingga 40%.

Kadar sewa dan tambang dikenakan sebelum ini pula tidak boleh dinaikkan begitu saja walaupun kos pengoperasian meningkat, kata Pengerusi Sekretariat Gabungan Bas Malaysia (SGBM) R Thiagarajan.
PETALING JAYA:
Harga alat ganti bas yang didakwa melambung hingga 40% berisiko melumpuhkan fasa pemulihan industri bas di negara ini, kata Pengerusi Sekretariat Gabungan Bas Malaysia (SGBM) R Thiagarajan.

Katanya, harga alat ganti seperti bateri, tayar, silinder serta minyak, meningkat antara 20 hingga 40%, sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, kenaikan harga barangan itu memberi kesan terhadap kos pengoperasian industri bas yang masih dalam fasa pemulihan selepas dua tahun terjejas akibat impak pandemik Covid-19.

Malah, Thiagarajan mendakwa, pihaknya mendapati bukan saja harga barangan naik, malah upah pembaik pulihan di bengkel dan kos tenaga kerja juga meningkat sehingga membantutkan proses pemulihan industri itu.

“Justeru, SGBM menggesa kerajaan mengambil langkah proaktif dan inklusif bagi menyelesaikan permasalahan kenaikan harga barangan.

“Kadar sewa dan tambang dikenakan sebelum ini pula tidak boleh dinaikkan begitu saja. Maka secara tidak langsung apabila kos pengoperasian meningkat, ia mengakibatkan kerugian.

“Tidak sampai berapa bulan pelaksanaan fasa peralihan ke endemik, kenaikan harga sudah begitu ketara menyebabkan ramai pengusaha mengalami kesukaran dalam fasa pemulihan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Mengulas lanjut, Thiagarajan menegaskan sekiranya perkara itu tidak dibendung, tempoh pemulihan yang diuar-uarkan kerajaan seolah-olah tiada sebarang makna.

Katanya, SGBM bersyukur dan menghargai inisiatif Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar, serta Bank Rakyat membantu usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan menyediakan skim pembiayaan mikro untuk penjaja dan peniaga kecil (MPPK) tanpa faedah beserta moratorium selama setahun.

“Namun difahamkan, dana diperuntukkan bagi skim itu sudah habis dan ramai pemohon PMKS tidak berpeluang mendapatkan pinjaman terbabit.

“SGBM memohon kementerian memberi peluang dengan mengaktifkan skim seumpama itu bagi usahawan PMKS yang tidak berkesempatan memohon atau mendapatkan pinjaman,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.