
Claudius, yang berasal dari Kota Kinabalu, menggunakan akaun @gtucjr di TikTok. Beliau memanfaatkan platform dalam talian dan media sosial dalam usaha memberi motivasi kepada pelajar.
Pada 2020, beliau mencari jalan untuk terus menarik minat pelajar yang perlu mengikuti pembelajaran dari rumah akibat pandemik dan terjumpa bengkel TikTok untuk guru.
“Pada masa itu, saya hampir berputus asa kerana sangat sukar untuk mengekalkan minat pelajar untuk belajar.

“Jadi, apabila ternampak hantaran daripada seorang pegawai kerajaan mengenai bengkel TikTok yang diadakan, saya terus merebut peluang itu,” kata Claudius.
Pada 10 Julai, Claudius yang berpengalaman mengajar selama 14 tahun di Labuan, menghasilkan video pendidikan pertamanya dan berkongsi dengan pelajarnya menerusi Google Classroom. Beliau mengambil tiga jam untuk menghasilkan video 20 saat itu.
“Pelajar saya terus tertarik dan ada yang berkata ‘Cikgu kami kini TikToker!”
Dengan semangat untuk meningkatkan keupayaannya mengajar kelas dalam talian, Claudius terus menghadiri webinar dan akhirnya menjadi Jurulatih Pendidikan Google bertauliah pada Mac lalu.
Menerusi ilmu yang diperoleh daripada webinar itu, beliau menggabungkan platform seperti Google Earth dan Google Arts & Culture untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajarnya.
Walaupun langkah mengintegrasikan teknologi dan media digital dalam pendidikan sebahagian besarnya disebabkan Covid-19, Claudius percaya ia akan bermanfaat untuk meneruskan sebahagian amalan itu selepas pandemik.
“Walaupun sekolah dibuka semula, saya rasa cara terbaik untuk mengajar kanak-kanak ialah melalui pembelajaran secara bercampur, di mana guru menggunakan media digital untuk menyediakan bahan pembelajaran kepada pelajar sebelum sesi bersemuka.”
Katanya, pembelajaran bercampur dan dalam talian berpotensi meningkatkan penyertaan serta pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak yang biasanya mempunyai personaliti lebih introvert.