
Ahli Parlimen Seremban itu menegaskan bahawa ramai wakil rakyat dalam parti itu masih muda termasuk dirinya.
“Kami tidak mempunyai sasaran berapa ramai muka baharu yang ingin kami ketengahkan tetapi sudah menjadi kebiasaan bagi kami pada setiap pilihan raya umum untuk memperkenalkan muka baharu sebagai sebahagian daripada proses peremajaan,” katanya pada sidang media di Pulau Pinang hari ini.
“Tetapi faktor penting yang perlu kita pertimbangkan ialah dalam DAP terdapat ramai penyandang muda. Saya sendiri masih berumur 45 tahun.
“Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim juga masih muda walaupun sudah dua penggal di sini. Bagaimana saya boleh menggantikannya (dengan calon lain)?”
Sim, setiausaha penganjur baharu DAP kini berusia 40 tahun.
Mengenai calon pilihan raya DAP Pulau Pinang, Loke berkata, akan ada beberapa siri temu bual dengan mereka yang berpotensi untuk dipilih dalam masa terdekat, selain menambah bahawa parti itu juga sedang mencari muka baharu.
“Proses ini sangat penting. DAP pusat menyerahkan kepada negeri untuk memilih calon terbaik untuk pilihan raya,” katanya.
Mengenai hasrat Muda untuk bertanding di negeri itu, beliau berkata, terpulang kepada DAP Pulau Pinang untuk membincangkan kerjasama.
Beliau juga berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak pernah membincangkan kerjasama dengan Bersatu untuk PRU15 dan menjadi keutamaan PH untuk mengukuhkan kekuatannya.