
Dalam kenyataan, hari ini, Rapid Rail, berkata pembekalan alat ganti untuk mesinnya tertangguh berikutan penutupan sementara sebuah kilang di Shanghai, akibat perintah berkurung oleh kerajaan China.
Katanya, kerja pembaikan dan penyelenggaraan di stesen monorelnya dijadual siap pada 31 Jul, manakala kerja di laluan LRT Ampang-Sri Petaling, laluan LRT Kelana Jaya, dan laluan MRT Kajang dijangka selesai, pada 30 Sept.
Rapid Rail berkata, bagaimanapun, tarikh penyiapan sebenar bergantung kepada keadaan semasa di Shanghai.
“Kegagalan tren” di stesen KL Sentral menyebabkan penumpang LRT bagi laluan Kelana Jaya tergendala hari ini.
Pada 10 Mei, “kegagalan tren” telah mengganggu perkhidmatan laluan Kelana Jaya. Satu lagi kejadian seumpama itu dilaporkan sehari sebelum itu, melibatkan laluan Ampang/Sri Petaling.
Pada masa sama, Rapid Rail juga memohon maaf dan menyatakan kekesalan kerosakan lif dan eskalator di stesen LRT Ampang Park sambil menyatakan, kemudahan itu akan beroperasi semula, selewat-lewatnya 25 Mei.
Beberapa video menunjukkan kesukaran dialami pelanggannya akibat peralatan rosak dikongsi secara meluas di media sosial.
Rapid Rail berkata, selain dua stesen dinyatakan, tahap operasi fasiliti di stesen Rapid KL adalah 96.5% bagi lif dan 90% bagi eskalator.
Katanya, bagi membantu penumpang yang memerlukan bantuan khusus, pihak operasi akan sentiasa memastikan kakitangan di stesen agar lebih peka tentang keadaan di pintu masuk dan segera memberikan bantuan.