Pemandu teksi mohon kebenaran rayu keluarkan LTTE sebagai kumpulan pengganas

Pemandu teksi mohon kebenaran rayu keluarkan LTTE sebagai kumpulan pengganas

V Balamurugan merupakan antara 12 individu yang didakwa pada akhir 2019 atas dakwaan menyokong LTTE.

Pada 17 Sept 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman difailkan V Balamurugan untuk membatalkan warta kerajaan yang menyenaraikan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sebagai pengganas di negara ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Pemandu teksi, V Balamurugan memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran meneruskan rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi mengeluarkan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) daripada senarai kumpulan pengganas.

Dalam permohonannya yang difailkan pada 13 Mei, Balamurugan mengemukakan lima persoalan undang-undang untuk dipertimbangkan Mahkamah Persekutuan.

Dalam notis usul, Balamurugan berkata, persoalan undang-undang berkenaan skop dan had kuasa menteri dalam negeri dalam mengisytiharkan entiti mengikut Seksyen 66B(1) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Peguam Omar Kutty Abdul Aziz, yang mewakili Balamurugan, semasa dihubungi mengesahkan telah memfailkan permohonan itu.

Pengurusan kes ditetapkan pada 17 Jun.

Pada 17 Sept 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman difailkan Balamurugan untuk membatalkan warta kerajaan yang menyenaraikan kumpulan LTTE sebagai pengganas di negara ini, namun gagal dalam rayuan di Mahkamah Rayuan yang menolaknya, pada 14 Apr lalu.

Balamurugan memohon suatu pengisytiharan dan/atau deklarasi bahawa butiran mengenai LTTE dalam perintah tersebut tidak mempunyai kesan dan tidak terpakai, manakala kemasukan butiran mengenai LTTE adalah batal dan tidak sah yang ia adalah ultra vires atau melangkaui Perlembagaan Persekutuan.

Dia menamakan menteri dalam negeri dan kerajaan sebagai responden.

Balamurugan memohon suatu perintah certiorari bagi membatalkan serta-merta butiran mengenai LTTE di dalam Perintah Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Pengisytiharan Entiti Ditentukan Dan Kehendak Untuk Melapor) (Pindaan) 2014 bertarikh 12 Nov 2014.

Balamurugan merupakan antara 12 individu yang didakwa pada akhir 2019 atas dakwaan menyokong LTTE.

Bagaimanapun, pada Feb 2020, peguam negara ketika itu, Tommy Thomas, menggugurkan pertuduhan terhadap mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.