Naratif toksik merugikan orang Melayu, kata Syed Saddiq

Naratif toksik merugikan orang Melayu, kata Syed Saddiq

Naratif perpecahan dan kepribumian hanya memundurkan orang Melayu dan ‘memenjarakan’ mereka, kata bekas menteri itu.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengkritik ahli Parlimen yang tanpa henti menggesa kerajaan membantu usahawan Bumiputera dengan menyalahgunakan kedudukan politik mereka. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Naratif perpecahan dan kepribumian, termasuk yang berkisar tentang ketakutan orang Melayu kehilangan kuasa politik, merugikan komuniti itu, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Bekas menteri belia dan sukan itu berkata, naratif toksik seperti itu, yang disokong oleh sesetengah ahli politik, “membunuh orang Melayu”.

“Ia memundurkan (orang Melayu) beberapa dekad dan ‘memenjarakan’ mereka selama-lamanya,” katanya pada satu forum malam tadi.

Turut hadir pada forum berkenaan adalah bekas speaker Dewan Rakyat Ariff Md Yusof, Ahli Parlimen Segambut daripada DAP Hannah Yeoh dan aktivis serta peguam Ambiga Sreenevasan.

Syed Saddiq berkata, beliau pernah mendengar ketakutan seperti itu diulang-ulang di kawasannya, Muar, apabila beliau bergambar dengan Yeoh dan segelintir orang mendakwa Yeoh cuba “mengkristiankannya”, iaitu sesuatu yang “tidak pernah dilakukan oleh Yeoh”.

Beliau turut mengkritik ahli Parlimen yang tanpa henti menggesa kerajaan membantu usahawan Bumiputera dengan menyalahgunakan kedudukan politik mereka untuk memperoleh “kontrak kerajaan bernilai jutaan ringgit untuk saudara mara dan ahli keluarga mereka”.

Ariff Md Yusof.

Ariff menggesa agar “jalan tengah” dibuka, melalui forum dan debat mengenai isu negara bagi membanteras naratif toksik seperti itu,

Beliau juga menyeru rakyat Malaysia supaya keluar mengundi, walaupun ada yang berpendapat ia sia-sia kerana sering berlakunya perbuatan lompat parti.

Katanya, pengundi harus memilih individu yang sesuai untuk berkhidmat di kawasan mereka dan menyokong gerakan politik yang mahu mengubah politik negara ke arah yang lebih baik.

“Kita tidak boleh ubah mentaliti semua ahli Parlimen, tetapi kita boleh sokong ahli Parlimen dan gerakan politik yang bagus seperti Gerak Independent dan Muda.

“Pastikan anda memilih orang yang sesuai untuk berada di Parlimen,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.