PGA rampas rokok seludup RM3.2 juta dalam rumah kedai

PGA rampas rokok seludup RM3.2 juta dalam rumah kedai

Rampasan 429 kotak rokok itu dilakukan hasil maklumat diperoleh Pasukan Gerakan Am (PGA) berkaitan aktiviti penyeludupan produk tembakau itu awal pagi ini.

Polis percaya rokok seludup itu untuk pasaran dalam dan luar Kelantan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Batalion Kesembilan Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas 429 kotak rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM3.2 juta di sebuah rumah kedai di Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, berkata rampasan dilakukan hasil maklumat diperoleh PGA berkaitan aktiviti penyeludupan produk tembakau itu, pada 3.30 pagi.

“Ketika serbuan pintu hadapan premis berkenaan tidak berkunci dan hasil pemeriksaan dilakukan di dalam premis telah menjumpai kotak berwarna coklat.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kotak itu menemukan pelbagai jenama rokok putih dipercayai diseludup ke negara ini secara haram,” katanya menurut laporan Bernama.

Zaki berkata, pihaknya membawa semua rokok dirampas itu ke Markas Taktikal (Martek) PGA Lubok Stol untuk tindakan selanjutnya.

“Berdasarkan maklumat diperoleh, kita mendapati penyeludup mengubah modus operandi susulan kawalan ketat di kawasan sempadan iaitu dengan menjadikan rumah atau premis sebagai tempat transit barangan seludup itu.

“Semua rokok seludup ini dipercayai untuk pasaran dalam dan luar Kelantan. Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenal pasti dalang aktiviti penyeludupan ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.